Tang Jie-Clarissa ke pusingan kedua, dua lagi beregu terkandas

Tang Jie-Clarissa ke pusingan kedua, dua lagi beregu terkandas


PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Clarissa San bermula dengan langkah kanan, walaupun dipaksa bekerja keras sebelum mara ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei City, Taiwan, hari ini.

Pasangan pecah ganding yang kini menghuni ranking ke-172 dunia itu menewaskan wakil Indonesia, Renaldi Samosir-Masita Mahmudin 21-19, 18-21, 22-20 dalam masa 1 jam 3 minit pada peringkat 32 terbaik.

Kedua-dua beregu yang belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini, menyaksikan Tang Jie-Clarissa kini memegang rekod pertemuan dengan kedudukan 1-0.

Pada pusingan kedua, Khamis ini, Tang Jie-Clarissa akan berdepan beregu Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaiprap yang berada di tangga No. 21 dunia.

Sementara itu, dua lagi beregu campuran Malaysia, Jimmy Wong-Cheng Su Yin dan Wee Yee Hern-Vanee Gobi terpaksa akur kepada lawan masing-masing yang menghuni ranking lebih tinggi berbanding mereka.

Jimmy-Su Yin yang beraksi cemerlang pada Terbuka Jepun, dua minggu lalu, sehingga berjaya mara ke suku akhir, gagal mengekalkan rentak konsisten pada kejohanan berstatus Super 300 tersebut.

Gandingan yang juga baru digandingkan itu dan kini menghuni ranking ke-73 dunia tunduk kepada pasangan No. 19 dunia, Yuta Watanabe-Maya Taguchi dari Jepun 5-21, 17-21 dalam masa 29 minit.

Pasangan ke-108 dunia, Yee Hern-Vanee pula turut kecundang di tangan wakil Jepun, Akira Koga-Natsu Saito yang merupakan beregu No. 22 dunia 15-21, 16-21 dalam masa 32 minit.

Esok, 14 lagi wakil negara bakal membuka aksi masing-masing dalam acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top