am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Kira-kira 700 bot nelayan Zon C2 di seluruh negara terus berdepan tekanan kos operasi susulan ketiadaan subsidi diesel sehingga menjejaskan pendaratan ikan laut dalam.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, subsidi diesel pada kadar RM1.65 seliter masih dikekalkan untuk nelayan Zon A, B dan C namun tidak membabitkan bot Zon C2 yang kekal membeli diesel pada harga industri.
Katanya, terdapat kekeliruan berhubung kenyataannya sebelum ini yang disalah tafsir seolah-olah penyeragaman subsidi diesel turut membabitkan Zon C2.
“Saya ingin tegaskan penyeragaman subsidi itu tidak melibatkan Zon C2. Zon C2 iaitu laut dalam masih kekal dengan harga industri.
“Apa yang saya rayu sebelum ini ialah supaya pengusaha bot Zon C2 terus turun ke laut kerana ketika ini musim ikan banyak dan kita memerlukan bekalan ikan untuk pasaran tempatan,” katanya selepas Majlis Rahmah Mesra MADANI LKIM Bersama Nelayan Tanjung Dawai, di sini, tadi.
Muhammad Faiz berkata peningkatan harga diesel memberi kesan langsung kepada pendapatan pengusaha bot laut dalam kerana kos operasi yang meningkat.
“Kita sentiasa berusaha memohon pertimbangan kerajaan supaya bantuan atau insentif dapat diberikan kepada pengusaha Zon C2 kerana mereka menyumbang kepada bekalan ikan laut dalam negara.
“Jika kos operasi terus meningkat, ia sedikit sebanyak menjejaskan jumlah pendaratan ikan dalam negara,” katanya.
Muhammad Faiz berkata, berdasarkan rekod LKIM, jumlah pendaratan ikan tahun lalu menurun kira-kira 10 peratus iaitu kepada 644,851 tan antaranya disebabkan faktor cuaca buruk.
Bagaimanapun, katanya bekalan ikan negara masih mencukupi dengan kadar Sara Diri (SSR) sekitar 90 peratus manakala baki 10 peratus diperoleh menerusi import.
Terdahulu, pada majlis itu, seramai 33 nelayan menerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan membabitkan tiga penerima enjin bot serta 30 penerima bantuan pukat, minyak pelincir dan tong insulasi dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM83,250.
© New Straits Times Press (M) Bhd






