Tangki skid terbiar punca insiden kebocoran gas di Terminal Kargo KLIA

Tangki skid terbiar punca insiden kebocoran gas di Terminal Kargo KLIA


SEPANG – Kebocoran satu injap tangki skid yang terbiar kira-kira sembilan tahun menjadi punca berlaku kebocoran gas di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, gas bocor itu dikenal pasti sebagai methyl mercaptan dan boleh tersebar sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta  pasukan Hazmat telah menjalankan pemeriksaan bersama pihak Gas Malaysia untuk mengesan kebocoran bahan kimia itu di tangki skid.

“Sebenarnya, ia adalah gas yang dicampur pada gas memasak dan sekiranya merebak (berlegar) ke luar, ia hanya menyebabkan rasa loya dan pening atau muntah, tidak sehingga berlaku kematian.

“Bagaimanapun, setakat ini, keadaan di MAB Engineering dan MAB Academy disahkan tiada kandungan gas serta selamat digunakan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at.

Dalam kejadian pukul 11.23 pagi tadi, lebih 1,000 kakitangan di kawasan tersebut diarahkan untuk mengosongkan kawasan Terminal Kargo KLIA.

Tambah Azman, seramai 39 mangsa dilaporkan mengalami masalah pening dan mual dengan 24 mangsa mendapat rawatan luar dan dibenarkan pulang, 14 orang dibawa Unit Rawatan Udara (ADU) KLIA dan seorang mangsa dihantar ke Hospita Putrajaya.

“Difahamkan, pihak Gas Malaysia akan mengambil tindakan segera membuat tampalan sementara (di tangki skid) untuk menutup punca kebocoran bagi mengelak bau sekitar kawasan di sini.

“Langkah seterusnya akan dilaksanakan bergantung kepada Gas Malaysia dan sekarang ini, kita ada sedikit lagi untuk tengok mereka akan tampal dan tutup dengan baik atau tidak, kita perlu pastikan ia benar-benar selamat pada umum.

“Ini kerana pekerja di bangunan MAB Engineering beroperasi 24 jam dan pihak keselamatan MAB juga akan memulakan operasinya pada malam ini bagi mengelak jadual penerbangan tergendala,” jelasnya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar.

Ujar Azman, seramai 87 anggota polis, bomba, Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Aviation Security (AVSEC), Kementerian Kesihatan serta Jabatan Alam Sekitar terlibat dalam operasi yang sama.

“Saya harap penduduk sekitar dan pengguna awam yang ingin berurusan di KLIA tidak perlu gusar atau risau kerana ia bukan gas yang membahayakan hanya beri kesan kepada orang yang kurang ketahanan,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bacaan gas di lokasi bocor adalah kira-kira 600 bahagian per juta (ppm).

Bagaimanapun, katanya, hasil bacaan di luar kawasan insiden adalah sekitar 150 ppm dan ia tidak mendatangkan ketidakselesaan atau membahayakan.

“Sekarang ini, Gas Malaysia dalam proses menampal tangki skid kerana difahamkan sudah sembilan tahun tangki tersebut tidak berfungsi dan ia akan dialih ke kawasan pelupusan,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top