sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Wong Tat Meng semakin menunjukkan perkembangan positif dan terbaharu, beliau dilihat sudah menjalani sesi fisioterapi dalam usaha kembali pulih seperti sedia kala.
Melalui video yang dikongsi oleh kelab badmintonnya, Roketto Badminton, petugas hospital cuba membantu Tat Meng untuk melakukan beberapa gerakan ringan terutama melibatkan tangan kanannya dan beliau dilihat mampu melakukannya meskipun agak perlahan.
Perkara itu sudah pasti melegakan ramai pihak terutama ahli keluarga, kenalan rapat dan peminat selepas beliau terlibat dalam kemalangan motosikal yang serius di Sydney bulan lalu.
Malah, menerusi video pendek berdurasi 56 saat itu juga menunjukkan Tat Meng sudah boleh berbicara dan memaklumkan dirinya menerima rawatan sangat baik.
“Saya ingin memberitahu bahawa saya sedang pulih dengan baik waktu ini. Pasukan perubatan (hospital) dan rakan-rakan saya di sini jaga saya dengan begitu baik.
“Saya tidak menjangka akan dapat kembali dalam masa terdekat, mungkin dalam tempoh sebulan lagi. Jika anda ingin berhubung dengan saya, boleh hubungi melalui Facebook Messenger,” kata Tat Meng melalui video itu.
Sebagai makluman, ketika kemalangan itu berlaku, jurulatih berusia 58 tahun itu mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam pelanggaran membabitkan dua motosikal di Jalan Putty, kawasan Garland Valley.
Seorang penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Tat Meng dihantar ke hospital dengan helikopter dan ditempatkan di unit rawatan rapi.
© New Straits Times Press (M) Bhd