PENGURUS Pasukan SIC Racing-MSI, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan kegagalan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, meraih sebarang mata dalam Perlumbaan 2 Piala Rookies Red Bull MotoGP (RBMRC) di Litar Sachsenring, Jerman berpunca daripada tekanan yang tidak dapat dikendalikan dengan baik.
Zulfahmi menjelaskan, meskipun Danish memulakan saingan dari petak ke-13 dengan aksi bertenaga dan berjaya menyelit dalam kelompok hadapan, tekanan yang dihadapi menyaksikan rentaknya terganggu sebelum akhirnya melakukan kesilapan yang merugikan.
“Tiada isu teknikal. Tekanan terlalu memberi kesan kepadanya. Ini adalah kali pertama musim ini dia gagal kutip mata.
“Namun kita tetap bersyukur kerana Danish masih mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan 13 mata,” katanya.
Pelumba berusia 17 tahun itu sebelum ini menunjukkan semangat juang tinggi untuk memperbaiki keputusan perlumbaan pertama apabila bermula baik dan bersaing di kedudukan ketujuh pada peringkat awal.
Namun, segalanya berubah apabila Danish terjatuh ketika perlumbaan berbaki 15 pusingan. Walaupun berjaya menyambung semula saingan, beliau bergelut untuk kembali menempatkan diri dalam kelompok pungutan mata.
Mengulas lanjut, Zulfahmi mengakui GP Jerman bukan minggu terbaik buat pelumbanya yang sukar menyesuaikan diri dengan karakter Litar Sachsenring yang kecil dan teknikal.
“Minggu ini sangat mencabar. Dalam sesi FP1 dia catat masa keempat terpantas, tetapi bermula FP2 hingga kelayakan, dia gagal tampilkan kepantasan sebenar.
“Litar ini memerlukan penyesuaian pantas dan perbezaan 0.5 saat dengan pendahulu sudah dianggap besar di sini,” jelasnya.
Menurut Zulfahmi, keputusan pada Perlumbaan 1 yang menyaksikan Danish menamatkan saingan di tempat ke-13 turut menjejaskan kedudukan grid bagi Perlumbaan 2, sekali gus menambah kesukaran dari segi strategi.
“Dia bermula agak ke belakang dan mengalami masalah degradasi tayar yang serius pada enam pusingan terakhir. Keadaan itu menyebabkan dia kehilangan banyak posisi.
“Saya percaya jika bukan kerana isu tayar, dia mampu bersaing dalam kelompok teratas,” tambahnya.
Dalam masa sama, Zulfahmi menegaskan dua lagi pusingan penting bakal menjadi penentu utama hala tuju kejuaraan musim ini.
“Danish perlu belajar mengurus tekanan dengan lebih matang. Kami yakin dia akan bangkit. Terima kasih kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan kepada pasukan,” katanya.