Tekanan memuncak, Frank ambil tanggungjawab

Tekanan memuncak, Frank ambil tanggungjawab

Tekanan memuncak, Frank ambil tanggungjawab


London: Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank, mengakui dirinya kini berada dalam situasi ‘ribut sempurna’ selepas menjadi sasaran cemuhan penyokong sendiri susulan kekalahan 1-2 kepada West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Frank, yang meninggalkan Brentford untuk menyertai Spurs musim panas lalu, meninggalkan padang dengan sorakan ‘anda akan dipecat pada sebelah pagi’ daripada penyokong tuan rumah selepas satu lagi kekalahan di laman sendiri.

Tottenham hanya menang dua daripada 11 perlawanan liga di gelanggang sendiri musim ini, tewas enam kali, dan kini menghuni tangga ke-14, sekali gus meletakkan Frank dalam tekanan hebat untuk mempertahankan jawatannya.

“Kami nampaknya berada dalam ribut sempurna ketika ini. Kekalahan saat akhir, apabila semua orang rasa sudah beri segalanya termasuk penyokong, kemudian menerima pukulan mengejut, ia sangat sukar untuk diterima, buat mereka, pemain dan saya.

“Saya janji ia juga amat sukar untuk saya,” kata Frank kepada wartawan.

Tottenham terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-15 menerusi jaringan Crysencio Summerville, namun tandukan Cristian Romero menyamakan kedudukan dan memberi harapan buat tuan rumah meraih tiga mata.

Bagaimanapun, Callum Wilson muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan lewat permainan buat West Ham yang berada di tangga ke-18, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk terus kekal dalam liga.

Sekali lagi Spurs meninggalkan padang dengan sorakan tidak puas hati penyokong, dan mereka perlu segera bangkit apabila bakal menentang Borussia Dortmund dalam aksi penting Liga Juara-Juara di laman sendiri, Rabu ini.

“Mungkin saya pernah melalui waktu yang lebih baik. Sudah tentu ini bukan masa terbaik.

“Tetapi saya faham, saya orang yang bertanggungjawab. Jadi salah akan jatuh kepada saya. Itu adil.

“Selagi penyokong menyokong pemain dan melakukan segala yang mereka mampu untuk mendorong pasukan, itulah yang kami perlukan dan kami akan terus bergerak ke depan,” kata Frank.

Kekalahan itu adalah yang ketiga berturut-turut buat Tottenham dalam semua kejohanan, dengan Spurs hanya mencatat dua kemenangan daripada 13 perlawanan liga terakhir.

Tugas Frank turut menjadi lebih sukar apabila kesebelasan utama Spurs dilaporkan bocor di media sosial sehari sebelum perlawanan.

“Ia sesuatu yang istimewa untuk menang pada saat akhir.

“Saya sangat bangga dengan cara pemain mengendalikan situasi ini,” kata pengurus West Ham, Nuno Espirito Santo, yang pernah dipecat Tottenham.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top