BEIRUT: Tentera Lubnan akan mengambil alih kawalan keselamatan di tiga kampung di selatan negara itu sebagai projek perintis di bawah perjanjian rangka kerja yang dimeterai menerusi pengantaraan Amerika Syarikat (AS).
Jabatan Negara AS dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan kampung Froun, Srifa dan Zawtar al-Gharbiya dipilih sebagai kawasan pertama bagi melaksanakan pelan tersebut.
Mengikut perjanjian itu, tentera Israel akan berundur secara berperingkat daripada kawasan yang masih didudukinya di selatan Lubnan sebelum kawalan keselamatan diserahkan kepada tentera Lubnan.
Tentera Lubnan juga akan menyelia proses pelucutan senjata kumpulan bersenjata Hizbullah sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian berkenaan.
Jabatan Negara AS berkata, pelaksanaan projek perintis itu adalah hasil rundingan antara Israel dan Lubnan yang diadakan di Rom minggu lalu.
Menurutnya, Washington akan terus bekerjasama rapat dengan kedua-dua pihak bagi memastikan perjanjian rangka kerja itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Israel turut mengesahkan pelaksanaan projek perintis itu sudah bermula, dengan tenteranya memaklumkan penyelarasan sedang dilakukan bersama AS dan Lubnan bagi memastikan pelan tersebut berjalan lancar.
Perjanjian rangka kerja itu dimeterai oleh Lubnan, Israel dan AS pada 26 Jun lalu selepas enam pusingan rundingan secara bersemuka.
Bagaimanapun, ketegangan masih berterusan apabila Israel terus melancarkan serangan di Lubnan, manakala Hizbullah pula meneruskan serangan roket ke arah utara Israel.
Hizbullah yang disokong Iran menolak perjanjian itu dan menegaskan Israel yang mendapat sokongan AS, perlu berundur sepenuhnya tanpa sebarang syarat dari Lubnan.
Menerusi perjanjian tersebut, Angkatan Tentera Lubnan akan mengambil alih kawalan keselamatan di kawasan yang dikosongkan Israel serta bertanggungjawab memastikan kawasan berkenaan bebas daripada senjata dan infrastruktur milik Hizbullah.- AGENSI






