am@hmetro.com.my
Tampin: Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PAS meneruskan momentum meminta ahli parti itu menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Berceramah di pentas Gelombang Biru dihadiri pemimpin BN dan Perikatan Nasional (PN) di sini malam tadi, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengingatkan semua ahli PAS di bawah Parlimen Tampin menyokong calon BN dan PN yang bertanding di tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN).
Mereka yang bertanding ialah calon PN di DUN Gemas, Ridzuan Ahmad; calon BN di DUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan calon BN di DUN Repah, Koh Kim Swee.
“Saya nak mengarahkan semua ahli PAS di kawasan Parlimen Tampin ini untuk keluar mengundi pada 1 Ogos ini.
“Kita perlu menyokong calon kita daripada BN untuk DUN Gemencheh, menyokong calon kita di Gemas dan tidak lupa kepada calon MCA di DUN Repah untuk kita rebahkan Pakatan Harapan (PH) di DUN itu,” katanya pada majlis di FELDA Bukit Rokan di sini, malam tadi.
Hadir sama, Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Tampin merangkap Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PN berkata, ahli PAS juga wajib keluar menunaikan tanggungjawab mengundi dan memilih calon BN seperti arahan pada PRN Johor lalu.
“Ia untuk menentang calon PH, memenangkan calon BN tak kira daripada UMNO, MCA atau MIC.
“Mudah-mudahan usaha yang kita buat ini akan memberikan manfaat besar kepada umat Islam, bangsa Melayu dan tanah air tercinta ini,” katanya.
Takiyuddin ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, arahan itu turut terikat kepada setiap ahli parti komponen dalam PN.
© New Straits Times Press (M) Bhd






