Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memecat beliau serta menteri-menteri Barisan Nasional (BN) sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Menurut laporan Free Malaysia Today, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, kenyataan Pengerusi BN itu boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk cabaran terhadap kuasa Perdana Menteri.
“Kalau betul itu ucapan dia (Zahid) saya rasa itulah satu cabaran.
“Saya rasa (kenyataan itu) tidak wajar diucapkan oleh seorang sahabat dan rakan baik kepada perdana menteri,” katanya ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Tanjung Agas, Linggi.
Foto arkib: Kosmo! Online
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Zahid pada satu program di Seremban yang menyatakan Anwar boleh memecat beliau dan menteri-menteri BN sekiranya tidak lagi menyukai mereka.
Ahmad Zahid turut menegaskan beliau tidak melihat sebarang alasan untuk mana-mana daripada lapan menteri BN melepaskan jawatan susulan kenyataan Anwar bahawa anggota pentadbiran yang menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika kempen PRN sepatutnya berundur.
Foto arkib: Sinar Harian
Terdahulu, Anwar memberi peringatan kepada semua menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan agar tidak menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh berkempen bagi PRN.
Pengerusi PH itu turut menegaskan mana-mana pihak yang berbuat demikian sewajarnya melepaskan jawatan.
Foto arkib: Bernama
Mengulas perkara itu, Aminuddin yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, kenyataan Anwar sebelum ini sepatutnya dilihat sebagai satu peringatan untuk memastikan keharmonian dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus dipelihara.
Beliau berkata, isu yang dibangkitkan bukan soal pemecatan sebaliknya mengenai kepentingan menjaga hubungan baik antara parti-parti yang membentuk kerajaan.
Dalam masa sama, Aminuddin mendakwa situasi yang berlaku dalam hubungan PH dan BN di Negeri Sembilan berisiko berulang di peringkat Persekutuan sekiranya tindakan menarik sokongan terus berlaku.
Sumber: Free Malaysia Today (Faiz Zainudin)






