Terapi ekspresi seni

Terapi ekspresi seni



razis@mediaprima.com.my

UNIK, kreatif dan menarik. Demikian perasaan penulis apabila melihat karya seni yang dihasilkan Nurul Naqainlah Ali, 35, untuk Pertandingan Seni MR DIY 2024 baru-baru ini.

Karya seni yang mengetengahkan konsep interaktif menggunakan bahan plexiglass itu apabila dipantulkan cahaya menampakkan bayang-bayang berbentuk imej ruang yang berbeza-beza.

Setiap imej ruang yang berbeza-beza ini menggambarkan emosi individu seperti luas, sempit, jauh, dekat, kosong dan sunyi.

Bagaimanapun, jika pandangan itu diubah dan cuba mencari makna lain dalam perkara biasa, ia boleh melihat sesuatu yang berbeza dan menarik.

Keunikan karya seni bertajuk ‘In Between-Positive Escape’ yang dihasilkan suri rumah yang juga pereka bebas itu berjaya menarik perhatian juri sehingga diumumkan sebagai pemenang anugerah pilihan juri bagi kategori awam, sekali gus membawa pulang RM10,000.

Nurul Naqainlah berkata, idea untuk menghasilkan karya seni itu tercetus ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkannya ‘terkurung’ dalam rumah.

“Saya mendapat inspirasi daripada pengalaman sendiri yang pada ketika itu sedang mengandung dan banyak meluangkan masa dalam bilik berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada ketika itu, saya sendiri berdepan pelbagai bentuk emosi kerana terlalu lama berkurung dalam bilik. Saya cuba terjemahkan pengalaman itu dalam karya seni ini.

“Diharapkan karya ini memberi impak positif. Walaupun kita lihat ruang yang kosong itu seperti sunyi, tetapi ia boleh memberi impak positif untuk kita lebih tenang,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni MR DIY 2024 baru-baru ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR DIY, Adrian Ong.

Pertandingan yang menampilkan tema Realiti Abstrak bertujuan mempromosi dan memupuk penghargaan terhadap seni Malaysia serta menyediakan platform untuk bakat yang berkembang maju menunjukkan kebolehan mereka kepada khalayak yang lebih ramai.

Malah pertandingan yang memasuki tahun ketiga anjuran MR DIY itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 turut dimenangi 22 peserta lain.

Hadiah utama dimenangi Dr Mohd Farizal Puadi, 43, bagi kategori awam dan Iklil Ali Ahmad Shukri, 19, (Institusi Pendidikan) yang masing-masing membawa pulang RM15,000 dan RM4,000.

Berkongsi pembabitannya sebagai pereka bebas, Nurul Naqainlah berkata, selepas menamatkan pengajian dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dia bekerja dengan sebuah rumah penerbitan selama dua tahun.

“Kemudian saya berhenti untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan berhenti daripada seni hampir dua tahun sebelum kembali bekerja secara sambilan di belakang tabir sebagai pembantu artis dan pada masa sama menerima tempahan karya seni daripada rumah.

“Ini pertandingan yang pertama kali saya sertai dan tidak sangka diumumkan sebagai pemenang bagi kategori pilihan juri,” katanya.

Katanya, sebagai ibu, dia mengakui berdepan cabaran menguruskan masa antara keluarga dan menghasilkan karya seni.

“Selesai tugasan rumah, pada sebelah siang, saya mencuri masa dalam dua hingga tiga jam ketika anak tidur dan ke sekolah.

“Kemudian pada sebelah malam selesai tidurkan anak, saya kembali membuat kerja seni. Saya lebih fokus ketika sebelah malam kerana masa yang lebih panjang dan tiada gangguan,” katanya.

Sebagai pengkarya seni, dia merasa tenang dan seronok dapat menyiapkan sesuatu karya selepas penat menguruskan rumah.

“Ini juga salah satu terapi dan kepuasan untuk saya menggunakan bakat yang dianugerahkan Allah supaya ia tidak ditinggalkan dan disia-siakan walaupun sibuk dengan tugas harian menguruskan keluarga di rumah.

“Kepuasan dan keseronokan itu juga datang apabila saya dapat berkongsi karya seni yang dihasilkan dengan masyarakat ,” katanya.

Nurul Naqainlah berpendapat, untuk yang menjadi pengkarya seni wanita yang baik, seseorang itu perlu mempunyai kecekalan dan percaya kepada diri sendiri.

“Pada masa sama, seseorang itu perlu sentiasa positif dan tidak cepat mengalah dalam menonjolkan bakat dan hasil karya.

“Bagi saya, kemahiran itu boleh diasah, tetapi yang paling penting untuk menjadi pengkarya seni, haruslah minat, percaya apa kita lakukan, sabar, rajin dan sentiasa seronok dengan kerja yang kita hasilkan.

“Untuk terus kekal dan relevan dalam industri seni kita perlu kekal konsisten berkarya dan cuba hasilkan karya yang terbaik,” katanya.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapannya, Nurul Naqainlah ingin terus menghasilkan karya yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Saya tidak akan berhenti di sini. Kemenangan dalam pertandingan ini memberi semangat yang luar biasa untuk saya terus berkarya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top