Terengganu sasar 61 emas Sukma Selangor

Terengganu sasar 61 emas Sukma Selangor


KUALA TERENGGANU: Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu menyasarkan kutipan 61 pingat emas bagi memburu kedudukan tiga terbaik pada edisi ke-22 di Selangor yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Azmi Mohamad Daham berkata, sasaran berkenaan turut disokong penyertaan 600 atlet yang berentap dalam 35 daripada 37 acara sukan dipertandingkan.

Katanya, antara acara yang menjadi sandaran kontinjen Terengganu adalah pelayaran, berbasikal, bola tampar, pencak silat, judo, kabaddi dan bola jaring.

“Persiapan menghadapi temasya ini dilakukan sejak Januari 2025 dengan perancangan rapi bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik sekali gus memperbaiki pencapaian pada Sukma Sarawak, dua tahun lalu. 

“Untuk kejohanan kali ini kita meletakkan sasaran 61 emas, 42 perak dan 88 gangsa daripada 35 acara. Hanya dua acara tidak disertai iaitu bola keranjang dan catur kerana prestasi atlet dalam acara berkenaan kurang memberangsangkan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu sempena Sukma Selangor di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mohd. Azmi berkata, berdasarkan prestasi pada edisi sebelum ini, Terengganu yakin mampu menambah kutipan pingat menerusi beberapa acara yang dikenal pasti sebagai lubuk emas kontinjen itu.

“Antara acara yang kita jangka dapat menyumbangkan lebih banyak pingat ialah berbasikal, judo dan angkat berat yang sebelum ini menjadi antara lubuk emas Terengganu. Dengan persiapan yang dilakukan lebih awal, kita yakin sasaran yang ditetapkan mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meningkatkan insentif kemenangan kepada atlet sebagai penghargaan atas usaha mereka mengharumkan nama Terengganu pada temasya berkenaan.

Katanya, atlet yang memenangi pingat emas akan menerima RM3,500 manakala perak RM2,500 dan gangsa RM1,500.

“Kerajaan negeri menaikkan insentif sebanyak RM500 bagi setiap jenis pingat berbanding Sukma lepas sebagai tanda penghargaan atas usaha dan penat lelah atlet. Kita harap ganjaran ini menjadi pembakar semangat kepada atlet untuk beraksi sebaik mungkin dan mengembalikan Terengganu sebagai antara kuasa sukan utama negara,” katanya.

Pada Sukma Sarawak 2024, Terengganu menduduki tempat kelima keseluruhan dengan kutipan 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top