'Terima kasih pak cik kerana tunjukkan rakyat Malaysia orang baik-baik'

'Terima kasih pak cik kerana tunjukkan rakyat Malaysia orang baik-baik'


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mulianya hati lelaki warga emas kerana membantu pelancong China membeli token dan memberi panduan bagaimana menaiki tren selepas menyedari wanita itu hilang arah ketika berada di sebuah stesen dekat sini.

Kisah berkenaan mendapat perhatian warganet selepas tular video pelancong China itu yang menangis dan meluahkan rasa terharu serta penghargaannya kerana dibantu lelaki berkenaan.

Video itu menunjukkan kesungguhan lelaki berkenaan membantu pelancong China walaupun bukan kakitangan bertugas di stesen.

Menerusi video sama, wanita berkenaan juga meminta orang ramai menyokong usaha lelaki itu yang mencari rezeki dengan menjual barangan di stesen berkenaan.

“Saya tak tahu cara untuk membeli tiket itu. Ada seorang pak cik tanya saya hendak ke mana.

“Saya tunjukkan peta dan dia bantu belikan tiket untuk saya.

“Selepas beredar, dia mungkin risau kemudian pak cik itu membantu saya,” katanya dalam satu video yang lengkap dengan terjemahan dalam bahasa Melayu.

Katanya, lelaki itu menghantarnya ke laluan masuk dan memberitahunya cara untuk turun ke stesen seterusnya.

“Saya sudah berjalan jauh tetapi dia masih membantu saya

“Dia menjual barang di sana seorang diri, pak cik itu sangat baik.

“Jika kamu di stesen Kuala Lumpur, tolong bantu pak cik itu dan beli barang yang dijualnya,” katanya.

Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet memuji lelaki berkenaan dengan mengatakan apa dilakukannya mencerminkan sikap sebenar rakyat Malaysia dan seharusnya dicontohi.

“Terima kasih pak cik kerana menunjukkan rakyat Malaysia adalah orang yang baik-baik,” tulis pengguna TikTok, Amzari Yusoff.

“Hebat pak cik, berjiwa murni. Rakyat Malaysia memang baik,” tulis seorang lagi warganet, Anis Hanisah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top