'Terima kasih PDRM, jika lambat sikit mungkin abang sudah tiada'

'Terima kasih PDRM, jika lambat sikit mungkin abang sudah tiada'


harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Mulut abang dah berbuih, jalan pula sesak… mujur ada polis bantu. Kalau lambat sikit mungkin abang sudah tiada.”

Itu detik cemas dikongsi Muhammad Shazwan Razali, 32, apabila abangnya, Muhammad Amrie Razali, 39, tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang, Selasa lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mereka berada di rumah rakan di Bandar Sunway selepas dia selesai bekerja.

“Abang ikut saya kerja seharian dan hanya tidur dalam kereta. Bila sampai, saya cuba kejut tapi dia tak bangun.

“Tiba-tiba mulut dia berbuih, saya terus panik dan bawa dia ke Hospital Selayang kerana dekat dengan rumah isterinya.

“Tetapi masa itu dah dekat jam 7 malam, waktu puncak, jalan sesak, saya dah panik tengok kereta banyak, sampai di Sri Damansara saya nampak kereta peronda polis tengah tahan orang saya terus berhenti dan minta bantuan mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Shazwan berkata, tanpa berfikir panjang dua anggota polis berkenaan terus memberi bantuan awal di lokasi seterusnya mengiringi perjalanan kami hingga ke hospital.

Katanya, ketika itu keadaan trafik memang padat dan tanpa bantuan daripada anggota unit peronda polis (MPV) berkenaan mustahil mereka sempat tiba ke hospital dengan cepat.

“Tak tahu nak balas macam mana jasa mereka, apa yang terjadi memang aturan Allah SWT tetapi saya bersyukur bertemu dua anggota polis terbabit yang pantas menghulurkan bantuan.

“Doktor kata kalau lambat sikit mungkin abang tak dapat diselamatkan. Saya difahamkan ada pembuluh darah pecah di dalam kepala abang, itu lah yang doktor terangkan. Saya pun panik masa itu, memang bernasib baik berjumpa anggota polis itu.

“Abang pula anak tiga orang dan seorang lagi dalam kandungan lagi lah saya panik masa itu. Kalau jadi apa-apa tak tahu saya nak buat apa,” katanya.

Terdahulu tular di TikTok satu klip video memaparkan sebuah MPV polis mengiring sebuah kenderaan sehingga ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top