Teroka Genre Rockdut, Shaffiq Erwin Muncul Dengan Single Janjir

Teroka Genre Rockdut, Shaffiq Erwin Muncul Dengan Single Janjir


Shaffiq Erwin, nama yang sudah sinonim sebagai guru vokal dan penyanyi sejak 2012, kini kembali mewarnai industri muzik dengan single terbaharunya berjudul Janjir.

Selepas beberapa tahun menyepi daripada dunia nyanyian, Shaffiq atau lebih dikenali sebagai Apit muncul semula pada tahun 2020 menerusi program realiti Famili Duo musim pertama di TV3 bersama rakan duetnya, Ara Johari.

Penyertaan mereka yang pada awalnya sekadar suka-suka akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara untuk episod Saudara.

Kejayaan itu menjadi pembakar semangat buat Shaffiq untuk terus berkarya. Dalam musim kedua Famili Duo yang bersiaran pada 2023, gandingan Shaffiq dan Ara kembali mencuri perhatian apabila berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

Tahun 2025 menyaksikan kemunculan semula Shaffiq dengan Janjir, sebuah karya yang menampilkan sisi berani penyanyi ini dalam meneroka genre baharu iaitu Rockdut, gabungan unik antara irama rock dan dangdut.

Lagu ini turut memuatkan lirik yang sarat dengan emosi dan dekat di hati pendengar.

Menurut Shaffiq, Janjir membawa kisah tentang sepasang kekasih yang pernah mengikat janji setia, namun kepercayaan itu dikhianati apabila salah seorang memilih untuk meninggalkan hubungan tersebut, hanya untuk kembali ketika kesusahan melanda.

“Lagu ini sangat peribadi buat saya. Ia mengangkat tema janji yang tidak ditepati, sesuatu yang ramai orang boleh kaitkan dengan pengalaman sendiri,” katanya.

Janjir merupakan hasil ciptaan dan terbitan bersama oleh Rudy Nastia, Aizad Khan serta Shaffiq sendiri di bawah Sevoce Studio dengan edaran Universal Music.

Menariknya, muzik video Janjir tampil dengan konsep warna merah jambu dan putih yang mencipta suasana segar serta ceria.

Lagu ini dilancarkan di YouTube dan semua platform digital mulai 12 November 2025.



Source link

OR

Scroll to Top