Lebih dua dekad mengabdikan diri dalam dunia muzik berteraskan dakwah, nilai kemanusiaan dan cinta Ilahi, Kumpulan nasyid UNIC sekali lagi mengejutkan ramai pihak apabila konsert sulung mereka yang di adakan di Idea Live Damansara 3, baru-baru ini ‘full house’.
Tampil dengan lagu pembukaan Hanyut, Balqis, Remaja dan Sebuah Pertemuan ternyata menghidupkan kembali nostalgia era permulaan kumpulan nasyid ini.
Manakala, susunan lagu seperti Jalinan, Keroncong Kasih Sayang dan Kawan memperlihatkan karya-karya matang dari segi mesej dan susunan muzik konsert ini.
Menyifatkan persembahan pada malam tersebut sebagai sesuatu yang sangat peribadi, ahli kumpulan UNIC iaitu Bazli berkata, reaksi positif yang diberikan peminat terhadap lagu-lagu mereka membuktikan kumpulannya itu masih relevan dan bermakna.
“Apabila kami menyanyikan lagu-lagu lama seperti Balqis dan Remaja, kami seolah-olah kembali ke titik awal perjalanan UNIC.
“Melihat penonton menyanyi bersama membuktikan lagu-lagu ini masih hidup dan bermakna hingga hari ini,” katanya.
Namun, apa yang menariknya, This Is UNIC: Live In Concert turut mengajak hampir 7,000 orang yang hadir untuk sama-sama bersolidariti dengan melaungkan Doa Qunut Nazilah. Selain, Doa Dhuha dan Jom Solat.
Segmen ini ternyata mencipta suasana penuh keinsafan apabila seluruh arena bergema seolah-olah bersatu dalam penghayatan rohani yang mendalam.
Tambah Dr. Fitri selaku salah seorang ahli kumpulan, segmen ini bukan sekadar muzik tetapi medium untuk mengajak, menyentuh dan mengingatkan orang ramai pada nasib saudara-saudara kita di bumi Palestin sekali gus untuk refleksi diri.
“Nasyid bukan sekadar muzik. Ia adalah medium untuk mengajak, menyentuh dan mengingatkan.
“Apabila seluruh dewan diam menghayati lagu seperti Doa Dhuha dan Qunut Nazilah, itu momen yang sangat menyentuh hati,” jelasnya.
Dan, bagi mengakhiri malam penuh emosi itu, UNIC menutup konsert dengan salah satu lagu popular mereka iaitu, Ainul Mardhiah yang disambut dengan laungan nyanyian peminat-peminat yang hadir.
Sekadar info, This Is UNIC: Live In Concert turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa, Naufal Isa dan Nizam Laksamana dalam segmen khas.






