Kerajaan menegaskan tidak bercadang untuk membentangkan semula Belanjawan 2026 walaupun negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata fokus ketika ini adalah kepada pelarasan dalaman khususnya melibatkan perbelanjaan operasi kementerian-kementerian.
Menurut beliau, semua kementerian telah dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) supaya melakukan semakan semula perbelanjaan masing-masing.
“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyelaraskan aktiviti program dan juga pelaksanaan bagi aktiviti tertentu dalam keadaan Malaysia berdepan cabaran akibat krisis bekalan global.
“Panduan juga sudah diberikan namun perincian akan disusuli antara ketua setiausaha di setiap kementerian bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,” katanya dalam Sidang Media Mingguan, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan program rasmi kerajaan dilaksanakan pada skala sederhana.
Ini termasuk bengkel, acara rasmi serta program melibatkan kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun serta GLC dan GLIC.
Sementara itu, Fahmi berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memaklumkan bekalan minyak mentah negara berada dalam keadaan stabil bagi tempoh akan datang.
“Bekalan terutama untuk pihak PETRONAS berada pada kadar memuaskan bagi bulan Mei dan Jun. InsyaAllah tidak ada masalah.
“Tetapi MTEN meneliti dan sangat prihatin mengenai isu harga global, sama ada minyak mentah ataupun produk-produk seperti RON95 dan diesel akan menerima impak penutupan Selat Hormuz.
“Jadi beberapa langkah dan ikhtiar di pihak kerajaan berkait Budi95, Budi Diesel, Budi Individu akan diselaras dan perkara ini masih dalam penelitian,” katanya.






