Tiada dalil pakai tudung? Berikut jawapan tuntas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Tiada dalil pakai tudung? Berikut jawapan tuntas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


DAKWAAN kononnya tiada satu pun dalil dalam al-Quran yang mewajibkan wanita menutup aurat dengan memakai tudung acap kali timbul.

Bagaimanapun, andaian sebegitu tidak boleh dijadikan ‘hujah’ oleh kaum Hawa untuk melucutkan hijab mereka tanpa penjelasan agama yang tuntas kerana ia membabitkan soal hukum-hakam syariat.

Memperbetulkan salah faham itu itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dakwaan sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah bercanggah dengan nas-nas yang jelas dalam al-Quran, hadis Nabi Muhammad SAW dan ijmak ulama sepanjang zaman.

Antara dalil yang paling jelas, menurut penjelasan pejabat mufti itu ialah ayat dalam surah an-Nur, ayat ke-31 yang mana ALLAH SWT berfirman:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung mereka ke dada mereka.”

Dalam menghuraikan maksud sebenar ayat itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Syeikh Wahbah Az-Zuhaili menerusi Tafsir al-Munir menyebut bahawa perkataan ‘khumurihinna’ berasal daripada kalimah ‘khimar’.

“’Khimar’ ialah kain yang digunakan oleh wanita untuk menutup bahagian kepala dan rambut, manakala perkataan ‘juyubihinna’ berasal daripada ‘jaib’ iaitu bukaan di bahagian atas jubah atau pakaian yang kelihatan sebahagian daripada dada.

“Justeru, ayat ini bukan hanya menyuruh menutup dada semata-mata, tetapi menyuruh wanita melabuhkan tudung yang sedia dipakai di kepala hingga menutup ke bahagian dadanya,” katanya sebagaimana dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial Facebook pejabat mufti tersebut pada Khamis.

Tidak terhenti pada nas al-Quran sahaja, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, kewajipan menutup aurat itu juga disokong oleh hadis Nabi Muhammad SAW dan ijmak ulama yang tidak berselisih dalam perkara tersebut.

“Kewajipan menutup rambut dan kepala bagi wanita Muslimah bukan isu khilaf.

“Mengingkarinya tanpa alasan yang munasabah boleh membawa kepada penolakan terhadap syariat yang terang dan jelas,” tegas pejabat mufti berkenaan.

PENSYARIATAN menutup aurat dengan sempurna perlu dilihat sebagai salah satu bentuk perlindungan kepada akhlak, maruah dan keselamatan Muslimah. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

PENSYARIATAN menutup aurat dengan sempurna perlu dilihat sebagai salah satu bentuk perlindungan kepada akhlak, maruah dan keselamatan Muslimah. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Mengulas lanjut, tuntutan syariat menutup aurat khususnya menutup rambut dan kepala secara keseluruhannya bukan semata-mata simbol identiti Muslimah, tetapi juga merupakan tanggungjawab dalam melaksanakan perintah agama.

Ia juga menjadi mekanisme syarak dalam menjaga keharmonian masyarakat dan mengelakkan gangguan syahwat.

“Seorang penyair berkata bahawa ‘Semua musibah berlaku puncanya daripada mata. Sebesar-besar api bermula daripada api yang kecil’,” terangnya.

Seperkara lagi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, menutup kepala juga tidak menindas atau menyekat kebebasan wanita Muslimah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dalam apa jua bidang sekali pun.

“Malah, pensyariatan ini perlu dilihat sebagai salah satu bentuk perlindungan kepada akhlak, maruah dan keselamatan Muslimah,” katanya.

Dalam pada itu, pejabat mufti tersebut turut menegaskan bahawa pemakaian tudung dan penjagaan aurat mampu melahirkan perasaan malu dan rasa saling menghormati antara manusia.

“Ini ialah asas kekuatan dalam sesebuah masyarakat. Napoleon pernah menyatakan, kubu terkuat bagi sebuah negara ialah wanita solehah.

“Jadi, umat Islam seharusnya menerima kebenaran ayat-ayat ALLAH dan melatih diri untuk patuh kepada syariat ditetapkan.

“Walaupun pelaksanaan syariat akan sering diuji dengan pelbagai cabaran khususnya daripada dorongan hawa nafsu, namun ALLAH SWT menjanjikan kemudahan bagi mereka yang berusaha membentuk diri mengikut acuan-NYA,” jelas pejabat mufti itu.



Source link

OR

Scroll to Top