July 27, 2024

Tiada gerakan baharu Syiah, Ahmadiah dikesan di Johor

Tiada gerakan baharu Syiah, Ahmadiah dikesan di Johor



farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Tiada sebarang kegiatan baharu ajaran sesat membabitkan Syiah mahupun Ahmadiah dikesan di Ulu Tiram atau negeri ini, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia hasil pemantauan dan risikan berterusan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Hasil semakan lanjut, kita dapati tiada gerakan (baharu) aktiviti ajaran yang mengelirukan di Ulu Tiram dan negeri ini.

“Sehingga kini, tiada laporan berkenaan ajaran (sesat) termasuk ajaran terkini, Ahmadiah itu pun nampaknya sangat terkawal pada waktu ini.

“Bagaimanapun, saya menyeru masyarakat supaya segera buat laporan kepada pihak berkuasa terutama JAINJ, sekiranya timbul keraguan pada amalan ibadah yang diajarkan atau disampaikan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah, di Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ), Datuk Abdul Rahman Salleh.

Ditanya kebimbangan orang ramai membuat aduan, Mohd Fared berkata, pelbagai kaedah laporan boleh dibuat orang ramai kepada JAINJ atau pihak berkuasa.

“Jika orang awam tidak mahu membuat aduan rasmi kepada JAINJ, mereka boleh menggunakan saluran mana-mana media sosial untuk berbuat demikian sama ada menerusi posting video atau di bahagian komen media sosial pihak berkuasa.

“Jika ada aduan, posting atau video di media sosial sekali pun, JAINJ akan buat siasatan bagi memudahkan masyarakat,” katanya.

Pada 2017, JAINJ menahan 21 lelaki berusia 21 hingga 67 tahun di sebuah rumah di Ulu Tiram selepas disyaki mengadakan majlis berkaitan dengan fahaman Syiah.

Kesemua mereka termasuk tiga lelaki warga asing, dilaporkan ditahan di lokasi yang didakwa Hauzah Syiah (rumah ibadat Syiah) di Ulu Tiram.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top