Pelakon, Rita Rudaini meluahkan rasa tidak puas hati selepas seorang individu di platform Threads mengaitkan bekas suaminya, Aidil Zafuan dengan kejayaan anaknya, Airit Rayyan Rizqin dalam acara olahraga baru-baru ini.
Menurut hantaran tersebut, individu berkenaan mendakwa bahawa bakat larian dan kecemerlangan Airit Rayyan dalam sukan itu diwarisi daripada bapanya yang merupakan bekas pemain bola sepak negara.

Bagaimanapun, kenyataan itu nyata mengundang kemarahan Rita yang tampil menafikan dakwaan berkenaan dengan menegaskan bahawa segala kejayaan anaknya adalah hasil pengorbanan dan didikannya sejak kecil.

“Tiada kaitan dengan bapa dia! Yang besarkan mereka dari kecil sampai boleh berlari itu aku! Jangan hamak perhatian,” luahnya.

Perkongsian itu pantas mencuri perhatian ramai di media sosial dengan rata-rata netizen mengecam tindakan individu tersebut yang didakwa tidak sensitif, selain menasihatkan Rita agar tidak melayan provokasi berkenaan.

Untuk rekod, Airit Rayyan Rizqin sebelum ini mencuri tumpuan apabila berjaya memecahkan rekod acara 110 meter lari berpagar pada Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026.
Mewakili kontinjen Selangor, remaja berusia 17 tahun itu turut cemerlang apabila meraih tempat kedua bagi acara 100 meter dan tempat ketiga dalam acara 200 meter.

Sekadar info, Rita dan Aidil pernah mendirikan rumah tangga pada 2008 sebelum bercerai pada 2013.
Sumber: Threads Rita Rudaini






