Tidak Boleh Umum Projek Baharu Selepas Penamaan Calon – PM

Tidak Boleh Umum Projek Baharu Selepas Penamaan Calon – PM


Kerajaan menegaskan larangan mengumumkan sebarang projek atau peruntukan baharu sebaik sahaja hari penamaan calon bermula kekal berkuat kuasa selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sepanjang tempoh kempen pilihan raya, kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri tidak dibenarkan mengumumkan projek atau dasar baharu kerana perkara itu tertakluk kepada Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

“Sebaik sahaja tarikh penamaan calon diumumkan, kempen boleh diteruskan tetapi tidak ada penggunaan jentera atau pengumuman projek atau dasar baharu negeri. Itu peraturannya, jadi ini terpakai bagi projek-projek baharu.

“Ada masalah-masalah dibangkitkan kerana projek diteruskan, itu kalau ikut peraturan memang dibolehkan penerusan projek yang sedia ada.

“Tidak boleh menggunakan jentera untuk mengumumkan projek baharu untuk masa kempen, sama ada di peringkat bandar raya atau kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Shahidan meminta penjelasan sama ada larangan pengumuman peruntukan atau projek kerajaan selepas penamaan calon masih berkuat kuasa serta mekanisme penguatkuasaan yang akan digunakan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Dalam soalannya, Shahidan turut membangkitkan pengumuman beberapa projek di Johor oleh Anwar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum hari penamaan calon PRN Johor.

Pada 25 Jun lalu, Kor Ming mengumumkan peruntukan Persekutuan berjumlah RM216.44 juta bagi pembangunan perumahan, kemudahan awam dan kebajikan komuniti di Johor, termasuk RM2.5 juta untuk kerja naik taraf 10 blok Flat Taman Ungku Tun Aminah di Skudai.

Mengulas perkara itu, Anwar berkata, pengumuman yang dibuat sebelum penamaan calon adalah dibenarkan di sisi peraturan, manakala isu etika kempen yang lebih besar ialah perbuatan menghina, mencerca dan menyebarkan penipuan.

“Saya kalau umum sebelum penamaan calon, itu peraturan mengizinkan. Jadi, tidak melanggar etika, yang melanggar etika itu kalau ada sumpah seranah, hina, mencerca, menipu itu (berkait) etika lebih besar. Itu yang kita kena elak.

“Jadi kalau berbicara (soal) etika, saya sangat setuju dengan Arau. Kalau kita bangkitkan balik soal akhlak, soal etika dalam kempen ini sangat baik. Ini maknanya jangan terlanjur daripada itu, itu peringatan kepada semua.

“Tidak boleh dan kita juga bentangkan dan bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri mengingatkan kalau-kalau kebimbangan, keterlanjuran dan juga pada Timbalan-Timbalan Menteri. Ini juga terpakai kepada Menteri Besar dalam tempoh kempen,” katanya.

Menyentuh secara khusus pengumuman Kor Ming di Johor, Anwar berkata, semakan kerajaan mendapati semua projek yang diumumkan telah mendapat kelulusan menerusi Belanjawan 2025 dan bukannya projek baharu.

“Saya semak dan dia umumkan projek yang telah diluluskan. Jadi, kalau ikut daripada segi prinsip peraturan pilihan raya itu dibolehkan.

“Ada projek telah diluluskan dalam belanjawan tahun lalu, kemudian kita tekankan dan ulang, itu tidak ada kesalahan dari segi peraturan pilihan raya.

Saya semak daripada segi undang-undang dan juga pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang Akta Kesalahan Pilihan Raya,” jelasnya.

KREDIT GAMBAR UTAMA: UTUSAN MALAYSIA






Source link

OR

Scroll to Top