'Tidak perlu takut dengan perkembangan AI' – Hans Isaac

'Tidak perlu takut dengan perkembangan AI' – Hans Isaac


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Industri kreatif tidak perlu takut dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), sebaliknya perlu melihat ia sebagai alat yang mampu membantu mempercepatkan proses produksi serta memberi manfaat kepada penggiat seni.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac, 55, berkata, sesuai dengan peredaran zaman AI bukan menggantikan tenaga kerja manusia kerana masih memerlukan kepakaran individu kreatif dalam penghasilan kandungan.

Menurut beliau, teknologi berkenaan berpotensi memendekkan tempoh penggambaran sekali gus membantu penjimatan kos produksi.

“Ada orang dalam industri takut dengan AI sebab mereka fikir teknologi ini akan ambil alih pekerjaan.

“AI masih menggunakan individu kreatif dan pakar industri. Cuma kalau dulu penggambaran ambil masa 100 hari, dengan AI kita boleh pendekkan kepada 60 hari,” katanya ketika ditemui pada program kerjasama FINAS bersama TikTok Malaysia, di Piazza, Pavillion Bukit Jalil, hari ini.

Tambahnya, penjimatan kos itu boleh dimanfaatkan semula untuk meningkatkan bayaran serta kebajikan kru produksi.

“Bila kos dapat dijimatkan, lebihan bajet itu boleh digunakan untuk tingkatkan gaji pekerja produksi. Itu yang kita mahu bantu industri,” ujarnya.

Sementara itu, FINAS dan TikTok Malaysia menjalinkan kerjasama strategik menerusi penyerahan Letter of Intent (LoI) bagi memperkukuh ekosistem kandungan digital tempatan.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi merasmikan Program Belia Kreatif Komuniti MADANI sempena Penutupan Hari Belia Negara 2026 (HBN2026) peringkat Wilayah Persekutuan.

Dalam perkembangan lain FINAS turut menyambut baik pengumuman Dana Pemangkin Generasi MADANI bernilai RM5 juta oleh Fahmi sempena majlis itu.

Fahmi Fadzil berkata dana yang disediakan menerusi FINAS itu terbuka kepada syarikat tempatan dan organisasi belia yang layak.

Beliau juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata dana berkenaan meliputi lima kategori utama penerbitan iaitu telefilem, dokumentari, filem pendek, dokumentari pendek dan animasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top