Pelakon Diana Danielle bercadang mendapatkan khidmat chef peribadi bagi menyediakan hidangan harian buat anak-anaknya susulan komitmen kerja yang semakin padat sepanjang tahun ini.
Menurut Diana, 34, keperluan tersebut timbul kerana dia mahu memastikan anak-anak memperoleh makanan yang lebih seimbang serta sesuai dengan rutin harian mereka.
Katanya, individu yang dicari bukan sekadar memiliki kemahiran memasak, sebaliknya mempunyai pengetahuan dalam bidang nutrisi dan mampu menyediakan pelbagai jenis menu setiap hari.
“Mungkin saya perlukan seorang chef peribadi di rumah sekarang.
“Seseorang yang boleh datang awal pagi dan masak dua ke tiga hidangan sehari.
“Anak-anak saya perlukan kepelbagaian makanan yang saya rasa pembantu rumah biasa tidak dapat sediakan dan saya sangat sibuk tahun ini.

“Mereka tak boleh hari-hari makan nasi berlauk, mereka perlukan makanan spesifik untuk jadual mereka yang padat.
“Kalau anda ada ilmu tentang nutrisi, boleh masak pelbagai jenis hidangan dan boleh menjadi chef peribadi boleh mesej secara peribadi kepada saya,” katanya.
Artikel lain: Muhammad makin sembuh, Diana Danielle syukur sudah pulih 80 peratus Bell’s Palsy

Bekas isteri kepada Farid Kamil itu berkongsi perkara berkenaan menerusi media sosial miliknya.
Perkongsian tersebut turut menarik perhatian pengikut yang rata-ratanya memuji usaha Diana dalam memastikan aspek pemakanan dan kesihatan anak-anak terus diberi keutamaan meskipun sibuk dengan kerjaya seni.






