MELAKA – Tiga lelaki nyaris maut selepas kereta dinaiki dipercayai terbabas sebelum terhumban ke dalam longkang di Jalan Bachang menuju Batu Berendam, di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Mohd Ismail Harun berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa berusia antara 23 hingga 27 tahun yang cedera dihantar di Hospital Melaka untuk rawatan lanjut
Menurutnhya, terdahulu pihaknya menerima panggilan nahas itu daripada orang awam pada jam 5.41 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati sebuah kereta Proton Iswara Aeroback terbabas di dalam longkang berhampiran masjid bersama tiga individu terperangkap di dalamnya.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada petugas perubatan untuk dibawa ke Hospital Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Ismail berkata, operasi terkawal dan tamat sepenuhnya pada 6.37 pagi. – MalaysiaGazette