BESUT: Tiga penggiat seni tradisional di daerah ini terus mempertahankan warisan pembuatan keris, senjata tradisional Nusantara yang menjadi lambang maruah, kedaulatan dan jati diri bangsa Melayu.
Mereka ialah Mohd. Rudi Jusof, 64, yang dianggap antara pembuat keris paling berusia di Besut, serta dua anak muridnya, Rosdi Abd. Hamid, 49, dan Abd. Mutalib Abdullah, 43.
Ketiga-tiga mereka aktif menghasilkan keris secara tradisional menggunakan kaedah manual yang memerlukan ketelitian, kesabaran dan kemahiran tinggi.
Mohd. Rudi berkata, seni pembuatan keris dipelajarinya bukan sekadar sebagai pekerjaan, sebaliknya warisan yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Setiap ketukan tukul pada besi bukan sekadar proses menghasilkan sebilah keris, tetapi kesinambungan ilmu yang saya pelajari daripada generasi terdahulu.
“Selagi masih mampu, saya akan terus membuat keris dan berkongsi ilmu dengan anak murid supaya seni ini tidak terhenti pada generasi saya,” katanya.
Katanya, kemahiran menghasilkan keris bukan hanya melibatkan pembuatan bilah, malah merangkumi pembuatan sarung dan hulu yang memerlukan ketelitian serta sentuhan seni tersendiri.
Menurutnya, bagi mendalami kemahiran tersebut, dia berguru dengan Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok yang merupakan tokoh seni halus di Besut.
Rosdi berkata, pembuatan keris memerlukan minat yang mendalam kerana tidak semua mampu menguasai keseluruhan proses pembuatannya.
“Ada pembuat keris mahir menghasilkan bilah, tetapi tidak boleh membuat sarung. Ada juga yang boleh menghasilkan sarung, namun bilahnya perlu dibeli daripada pembuat lain.
“Bagi kami, kemahiran menghasilkan sebilah keris lengkap dengan sarung dan ukiran tertentu adalah kemahiran yang tidak dimiliki semua orang,” katanya.
Sementara itu, Abd. Mutalib sanggup mengikuti pelbagai kursus anjuran Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) bagi memperluaskan pengetahuan dan memantapkan kemahiran menghasilkan keris.
Katanya, Besut kini antara kawasan yang masih aktif menghasilkan keris, meskipun jumlah pengeluarannya tidak banyak bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Permintaan datang dari dalam dan luar negara, termasuk Thailand dan Singapura,” katanya. – UTUSAN
