NIBONG TEBAL – Kurang lima jam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan melabuhkan tirai, kedua-dua calon menitipkan pesanan terakhir buat pengundi kawasan berkenaan.
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin dan Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail masing-masing meminta pengundi keluar mengundi untuk menunaikan tanggungjawab esok.
Menerusi Tinta Abang Abidin, beliau menyifatkan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat merupakan permasalahan yang dihadapi dirinya sendiri.
“Sungguh, tidak tertahan sebaknya apabila nama diangkat sebagai calon bagi mewakili PN bagi DUN Sungai Bakap. Pada asalnya saya hanya sebagai pegawai khas buat arwah Abang Zam dan kami dalam Pas kami tidak diajar sama sekali untuk meminta-minta jawatan, kerana ia amat berat sekali untuk dijawab di hadapan Allah SWT kelak.
“Melihat sokongan, dorongan dan doa keluarga, anak muda, pelbagai kaum dan orang ramai, ianya menguatkan saya kembali. Bahkan apabila teringat kembali bagaimana arwah Abang Zam bersungguh-sungguh membantu warga Sungai Bakap, menambahkan lagi semangat untuk meneruskan legasi yang ditinggalnya.
“Andai kata saya terpilih untuk menjadi wakil rakyat Sungai Bakap pada kali ini, sekali lagi saya memohon untuk sama-sama bergerak dengan saya, dan janji saya pada penduduk Sungai Bakap khususnya adalah saya tidak akan tinggalkan kerja kerja kebajikan yang telah saya mulakan bersama arwah Abang Zam,” katanya.
Sementara itu, senandika Cikgu Joohari menyifatkan pemilihan wakil rakyat esok sebagai peluang kedua untuk Sungai Bakap membina semula perjalanan yang indah.
“Saya merayu supaya saudara dan saudari menggunakan peluang ini untuk memastikan segala harapan kita menjadi kenyataan.
“Sesungguhnya saya amat memahami keadaan dan keperluan rakyat Sungai Bakap. Saya dengan rasa penuh iltizam akan bekerja keras demi penduduk Sungai Bakap sekiranya diberikan amanah.
“Dengan rasa rendah diri saya memohon sokongan dan undi daripada semua pengundi di Sungai Bakap demi menjayakan visi dan misi membina Sungai Bakap yang makmur dengan perpaduan, ketahanan dan harapan,” katanya.
Terdahulu SPR memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.
Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette