Bakat baharu, TJ memasang azam besar untuk muncul sebagai pelakon yang disegani dalam industri seni tanah air. Di sebalik impian membina nama, jejaka itu turut membawa beberapa misi peribadi yang mahu direalisasikan satu demi satu.
Antara agenda terpenting TJ atau nama sebenarnya Lee Tian Jiang, 27, adalah meningkatkan kesedaran tentang isu buli, sesuatu yang cukup dekat dengan dirinya kerana pernah menjadi mangsa ketika di bangku sekolah.
Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu kini aktif menggerakkan advokasi dikenali sebagai The Way of Respect: Antibullying Through Martial Arts, iaitu pendekatan menggabungkan pendidikan anti buli dan seni mempertahankan diri.
Usaha tersebut turut menjadi antara faktor yang melonjakkan namanya apabila dinobatkan sebagai juara Bachelor of Malaysia 2025 beberapa bulan lalu. Bagi TJ, pengalaman silam membuatkan dia lebih lantang bersuara mengenai isu berkenaan.

“Saya pernah melalui fasa dibuli ketika sekolah menengah. Saya dipulau, dikasari dan diejek. Keadaan itu buat saya tertekan, cepat marah dan hilang keyakinan diri.
“Sampai satu tahap, saya takut ke sekolah dan pelajaran terjejas. Saya hanya mampu bangkit semula sebab sokongan keluarga dan kawan-kawan yang tak pernah putus,” katanya.
Melalui gerakan advokasi itu, TJ kerap menyertai program di sekolah dan kolej bagi berkongsi kesedaran tentang buli sambil memperkenalkan seni pertahanan diri sebagai medium membina kekuatan mental dan fizikal.
Lebih menarik, TJ juga mengusahakan pusat latihan sendiri iaitu Kungfu Dojo Sabah yang ditubuhkan hasil pengalaman perit tersebut.
“Bila saya mula belajar pelbagai seni pertahanan diri, saya sedar ia bantu saya pulihkan semangat dan keyakinan. Dari situ timbul idea buka pusat latihan sendiri supaya lebih ramai dapat manfaat.
“Bagi saya, ilmu mempertahankan diri bukan sekadar untuk berlawan, tapi untuk bina disiplin dan harga diri. Sebab itu saya mulakan perniagaan ini lebih enam tahun lalu,” ujarnya.

Beralih kepada karier lakonan, TJ mengakui bersedia meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke Kuala Lumpur sekiranya peluang besar menantinya di ibu kota.
Katanya, kemahiran dalam seni pertahanan diri boleh menjadi identiti unik yang membezakan dirinya dalam industri perfileman tempatan.
“Saya bukan saja mahu dikenali di Malaysia, malah kalau ada peluang saya sanggup ke luar negara untuk kembangkan kerjaya. Tapi buat masa ini, saya mahu kukuhkan nama di pasaran tempatan dulu.
“Saya juga masih ada banyak impian, termasuk bekerja dengan pengarah hebat. Saya nak terus belajar dan tambah ilmu daripada mereka,” katanya.
Walaupun masih dianggap pendatang baharu, TJ sebenarnya sudah terlibat dalam beberapa produksi tempatan dan aktif mencari peluang bagi memperluaskan pengaruhnya.
Dia juga tidak gentar mencuba pelbagai jenis watak, khususnya peranan aksi yang memerlukan ketahanan fizikal kerana menganggap itu sebagai kekuatan utamanya.
Dalam masa sama, TJ berkongsi satu pengalaman mencemaskan ketika menjalani penggambaran filem aksi di Sabah yang masih segar dalam ingatan.
“Dalam satu babak pertarungan di hutan, saya berkaki ayam dan tanpa sengaja terpijak buluh tajam. Luka di kaki agak dalam sampai perlu tujuh jahitan.
“Tapi sebab jadual ketat, saya teruskan penggambaran hampir tujuh jam sebelum ke hospital. Lepas itu cuma makan antibiotik, kurang tidur dan perlu cuci luka setiap beberapa jam sedangkan penggambaran masih berbaki hampir tiga minggu,” katanya.
Bercakap tentang impian, TJ menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan nama besar seperti Adrian Teh, Shuhaimi Baba, Datuk Yusof Haslam, Michael Ang, Syamsul Yusof dan Tan Chui Mui.
“Saya tak mahu sekadar jadi pelakon biasa. Saya nak bawa nama Malaysia ke peringkat dunia dan buktikan filem aksi kita pun setanding negara luar.
“Donnie Yen dan Jason Statham banyak beri inspirasi kepada saya. Saya mahu terlibat dalam filem yang ada aksi mantap dan mesej bermakna,” katanya.
Dengan semangat tinggi dan misi jelas, TJ optimis langkahnya dalam industri seni bukan sekadar mengejar populariti, sebaliknya membawa perubahan positif buat masyarakat.





