Selama lebih dua dekad, Toyota HiAce generasi kelima kekal sebagai antara kenderaan komersial paling dipercayai di Jepun. Walaupun dunia luar sudah lama beralih kepada generasi baharu (H300) sejak 2019, Toyota masih meneruskan hayat model klasik ini untuk pasaran domestik mereka.
Bagi tahun 2026, HiAce ini sekali lagi diberikan nafas baharu dengan pendekatan evolusi yang praktikal dan fokus kepada keperluan pengguna. Dari luar, perubahan yang dilakukan boleh dikatakan sangat minimum.
Reka bentuk kotak yang sinonim dengan HiAce masih dikekalkan sepenuhnya kerana ia terbukti efisien untuk tujuan komersial, terutama dari segi penggunaan ruang dan kebolehan memaksimumkan kapasiti kargo. Satu-satunya pembaharuan yang ketara ialah penggunaan lampu hadapan LED jenis Bi-Beam yang memberikan pencahayaan lebih baik serta sentuhan moden kepada wajah van ini.
Masuk ke ruang dalaman, HiAce 2026 kini dilengkapi dengan skrin infotainment bersaiz 8 inci sebagai standard untuk semua varian, menggantikan sistem lama yang lebih asas. Di hadapan pemandu pula, terdapat paparan meter digital bersaiz 7 inci yang memberikan maklumat pemanduan dengan lebih jelas dan kontemporari.
Bagi varian lebih tinggi, ciri seperti tempat duduk dengan pemanas turut ditawarkan dan mekanisme pintu belakang yang lebih mudah dikawal, menekankan fokus Toyota terhadap kegunaan harian. Aspek keselamatan menjadi antara peningkatan paling ketara untuk model ini.

Toyota telah melengkapkan HiAce 2026 dengan sistem Toyota Safety Sense yang dikemaskini termasuklah kawalan jelajah adaptif yang boleh menyesuaikan kelajuan mengikut selekoh, bantuan penukaran lorong, pengecaman papan tanda jalan, serta sistem pra-perlanggaran yang lebih canggih.
Dari segi mekanikal, Toyota HiAce 2026 masih menggunakan enjin yang sama seperti sebelumnya iaitu enjin petrol 2.0 liter yang menghasilkan sekitar 158 kuasa kuda dan 182 Nm tork, serta enjin diesel 2.8 liter dengan output 149 kuasa kuda dan 300 Nm tork. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan,
Dari sudut harga, model HiAce 2026 di Jepun dijual dalam julat sekitar JPY 2.86 juta hingga JPY 4.68 juta, yang bersamaan lebih kurang RM73,000 hingga RM120,000 bergantung kepada varian.
Sebagai perbandingan di Malaysia, model HiAce komersial sedia ada dijual sekitar RM113,000 hingga RM123,000, manakala versi lebih baru mencecah sekitar RM169,000.






