WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran akan menghapuskan pejuang Hamas sekiranya kumpulan itu gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata di Gaza.
“Kami membuat perjanjian dengan Hamas mereka akan berkelakuan baik, bertindak wajar dan berhati-hati,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih ketika menerima kunjungan Ketua Menteri Australia, Anthony Albanese.
“Dan jika mereka tidak berbuat demikian, kami akan pergi dan kami akan hapuskan mereka, jika perlu. Mereka akan dihapuskan dan mereka tahu mengenainya,” tambahnya.
Kenyataan Trump dibuat ketika dua utusan tertingginya bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, susulan insiden keganasan hujung minggu lalu yang mengancam meruntuhkan gencatan senjata rapuh yang dimeterai hampir dua minggu lalu.
Bagaimanapun, Trump menegaskan anggota tentera AS tidak akan terlibat secara langsung menentang Hamas, sambil menyatakan puluhan negara yang bersetuju menyertai pasukan penstabilan antarabangsa untuk Gaza bersedia bergerak jika diperlukan.
“Selain itu, Israel akan masuk dalam masa dua minit, jika saya minta mereka masuk. Tetapi buat masa ini, kami belum berkata begitu.
“Kami beri peluang sedikit, dan diharapkan keganasan akan berkurang. Tetapi buat masa ini, anda tahu, mereka adalah kumpulan yang ganas,” katanya.
Trump menambah kekuatan Hamas kini jauh lebih lemah, terutamanya kerana penyokong serantau utamanya, Iran, dilihat tidak mungkin campur tangan selepas serangan yang dilancarkan oleh AS dan Israel awal tahun ini. -AGENSI