Miami: Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui semangat juang luar biasa dipamerkan anak buahnya ketika menewaskan Norway 2-1 pada suku akhir Piala Dunia, namun menegaskan mereka masih perlu meningkatkan mutu permainan.
Jude Bellingham sekali lagi muncul wira England apabila menjaringkan kedua-dua gol kemenangan selepas Norway terlebih dahulu membuka jaringan, sekali gus membawa The Three Lions ke separuh akhir.
Sejurus tamat perlawanan, Bellingham dimaklumkan bahawa Tuchel kurang berpuas hati dengan persembahan pasukannya.
“Baiklah… apa boleh buat. Memang sukar bermain dalam keadaan seperti itu.
“Semua pemain bekerja keras. Saya amat menghargai usaha setiap rakan sepasukan yang sekali lagi memberikan segala-galanya di atas padang,” kata Bellingham.
Ketika ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan pemain tengah itu, Tuchel menjawab tanpa ragu-ragu.
“Sudah tentu, tiada siapa mempertikaikannya.
“Saya kagum dengan usaha mereka, semangat berpasukan, keyakinan serta kemampuan mengatasi tekanan dan mencari jalan untuk menang. Itu berada pada tahap tertinggi.
“Mereka memang layak menerima segala pujian,” kata Tuchel.
Bagaimanapun, pengendali dari Jerman itu menjelaskan tugasnya sebagai jurulatih memerlukan beliau melihat aspek yang masih perlu diperbaiki.
“Namun saya juga seorang jurulatih bola sepak dan saya percaya kami boleh bermain dengan lebih baik.
“Secara keseluruhan, saya rasa ia bukan aksi yang berada pada tahap tertinggi. Kami pernah bermain dengan lebih baik sebelum ini.
“Sebagai jurulatih, saya tetap berpendapat kami mampu dan perlu mempamerkan bola sepak yang lebih berkualiti,” katanya.
Setakat ini, Bellingham dan kapten Harry Kane sudah menghasilkan 12 daripada 13 gol England dalam kejohanan itu.
Tuchel berharap lebih ramai pemain dapat menyumbang di bahagian serangan, namun tetap menghargai impak besar kedua-dua pemain berkenaan.
“Kami perlu meningkatkan kualiti permainan menyerang supaya pemain lain juga berada dalam kedudukan terbaik untuk menjaringkan gol.
“Namun mereka adalah pemain yang menentukan keputusan perlawanan. Mereka menyukai tanggungjawab itu, memiliki kualiti dan sentiasa muncul pada saat penting.
“Kami tidak perlu meminta maaf kerana mempunyai dua pemain seperti mereka yang mampu menentukan kemenangan. Mereka pemain bertaraf dunia dan saling melengkapi dengan begitu baik,” tambahnya.
Tuchel turut menepis tanggapan bahawa beliau tidak gembira selepas kemenangan penting itu.
“Tidak sama sekali. Saya sangat gembira dengan keputusan dan bangga dengan pasukan ini.
“Saya berasa sangat rapat dengan mereka kerana mereka sentiasa melakukan apa sahaja untuk mara lebih jauh. Mereka enggan mengaku kalah dan sentiasa mengatasi segala cabaran.
“Namun kami mahu mengeluarkan kemampuan terbaik kerana prestasi terbaik membantu memenangi perlawanan.
“Sebab itu sebagai jurulatih, saya masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan cara kami bermain dan saya tetap dengan pendirian itu,” kata Tuchel.
England akan menentang Argentina atau Switzerland pada aksi separuh akhir di Atlanta, Rabu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






