KALAU kita tanya anak muda yang tidak mahu sambung belajar, kebanyakan akan memberi alasan – Buat apa pening-pening, berhabis duit, belajar bertahun-tahun, akhirnya gaji sama saja dengan yang tidak belajar tinggi, RM2,000 atau sekadar terima gaji minimum.
Senang sahaja kita boleh menjangkakan jawapan ini kerana ia adalah hakikat yang kita boleh lihat sendiri di mana-mana. Bukan fitnah masa kempen pilihan raya.
Seorang kawan dalam grup WhatsApp sekolah menengah baru-baru ini memberitahu: “Anak saya yang belajar UM sudah dapat kerja. Tapi gaji dia sama dengan abang dia yang SPM. RM1,800.
Kerja apa? Tanya saya. Jawabnya, jaga media sosial itu pun freelance, tiga bulan. Selepas itu kena cari lagi kerja lain.
“Eloklah ada kerja walau gaji sikit daripada tiada kerja,” tambah seorang lagi rakan lama saya.
“Majikan-majikan memang suka cakap macam hang cakap ini. Bersyukurlah ada kerja sebab depa ini hendak bayar gaji sikit,” kata saya sambil disambut emoji ketawa oleh kawan-kawan lain.
Muka depan Utusan Malaysia bertajuk : Anak Muda tidak sambung belajar membimbangkan pada Khamis lalu melaporkan, bekas Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin melahirkan kegusarannya terhadap trend anak muda yang enggan melanjutkan pelajaran. Perkembangan ini umpama bom jangka. Ia menjadi ancaman besar kepada hasrat negara untuk mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir berpendapatan tinggi. Parut dalam sistem pendidikan kita nampaknya semakin jelas.
Data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendedahkan 7,099 calon tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Ini membuktikan di peringkat peperiksaan asas pun, ribuan anak muda sudah angkat kaki. Sudah tentu, sebahagian besarnya berpaling tadah daripada sistem akademik demi pasaran kerja awal yang menawarkan tunai segera.
Kita juga tidak boleh menafikan impak budaya pempengaruh (influencer culture) yang meledak hari ini. Media sosial telah mencipta ilusi kejayaan yang pantas dan murah. Anak muda disogok dengan naratif bahawa subjek akademik konvensional sudah tidak relevan. Bagi mereka, mengapa perlu membuang masa bertahun-tahun di universiti apabila media sosial boleh memberikan pulangan tunai berlipat ganda dalam masa beberapa bulan?
Keghairahan memburu tunai melalui ekonomi gig juga telah mengaburkan pandangan mereka terhadap perancangan jangka panjang. Sifat ekonomi gig yang tiada caruman KWSP atau perlindungan insurans perubatan korporat dianggap remeh. Asalkan ada duit hari ini, itu sudah cukup.
Bukan itu sahaja, faktor kos pengajian tinggi yang melambung turut menjadi batu penghalang terutamanya di universiti atau kolej swasta. Kos pendaftaran sahaja sudah mencecah ribuan ringgit. Belum dikira yuran pengajian setiap semester, kos buku, dan sara hidup. Pinjaman PTPTN kadangkala tidak mencukupi, memaksa pelajar bekerja sambilan sehingga mengorbankan fokus pelajaran.
Realitinya, ramai anak muda berasa gentar melihat abang atau kakak mereka yang sudah bergraduasi tetapi masih bergelut membayar hutang pendidikan bertahun-tahun lamanya.
Apabila kos pelaburan pendidikan terlalu tinggi tetapi pulangan dalam pasaran kerja amat menyedihkan, formula ini jelas tidak lagi masuk akal bagi minda anak muda.
Namun, adakah adil meletakkan 100 peratus kesalahan di bahu anak muda yang memilih untuk tidak sambung belajar? Cuba kita selami keluhan industri dengan minda yang terbuka.
Menurut data portal pekerjaan, gaji permulaan bagi sesetengah graduan bidang bukan kritikal masih sekitar RM2,200- RM2,500 di bandar besar. Selepas ditolak caruman wajib, sewa bilik sekangkang kera, kos pengangkutan, dan bayaran balik PTPTN, baki bersih mereka hanya mampu untuk makan mi segera setiap hari.
Isu skim gaji golongan profesional yang stagnant ini menjadi sebab mengapa ada yang menganggap menara gading sekadar tempat menimba ilmu, bukan lagi tiket mencari rezeki. Banyak sektor korporat dan majikan seolah-olah mengambil kesempatan atas lambakan siswazah dengan mengekalkan tangga gaji era sedekad lalu, tanpa memperdulikan lonjakan kos sara hidup yang menggila.
Dalam sektor awam dan GLC pula, program MySTEP untuk anak muda, mereka ini asyik disambung kontrak sahaja, tidak diserap terus. Gaji pula antara RM1,700 hingga RM2,100 dengan kerja lebih masa tidak dibayar.
Jadi, ramai anak muda memilih jalan alternatif yang lebih adil pada mata mereka iaitu bekerja sendiri tanpa perlu tunduk kepada birokrasi majikan yang kedekut gaji.
Krisis keengganan generasi muda melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi sebenarnya adalah satu gelombang global. Di Amerika Syarikat, pendaftaran kolej merosot teruk kerana anak muda di sana memilih skim latihan industri berbayar (apprenticeship) demi mengelakkan belenggu hutang seumur hidup.
Sementara itu di Korea Selatan dan China, walaupun terkenal dengan budaya akademik yang ekstrem, fenomena ‘Tang Ping’ (baring flat) dan ‘Sampo Generation’ menyaksikan anak muda berpendidikan tinggi mula memberontak. Mereka melihat persaingan sengit sekeping ijazah dan waktu kerja yang toksik tidak berbaloi dengan tangga gaji yang ditawarkan. Mereka memilih untuk hidup ala kadar demi kelangsungan kesihatan mental.
Kita tidak boleh membiarkan isu gaji tidak setimpal ini berlarutan sehingga negara mengalami ‘pendarahan otak’ atau kekurangan tenaga pakar dalam sektor kritikal.
‘Orang lama’ pula janganlah hendak membandingkan zaman dulu dan sekarang dan mengatakan generasi muda kini mengada-ngada atau lembik. Dulu sewa bilik di tengah-tengah bandar KL, boleh dapat bawah RM200. Sekarang bolehkah?
Kementerian Sumber Manusia perlu menetapkan dasar gaji minimum yang lebih tinggi dan progresif khusus untuk pemegang diploma dan ijazah. Majikan perlu dipantau dan yang gagal membayar gaji setimpal dengan kelayakan akademik perlu dikenakan penalti berat.
Kos pendidikan juga wajar dilihat semula agar ia mampu diakses tanpa syarat pinjaman yang menjerat. Pada masa sama, Aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diarusperdanakan secara total. Namun lebih daripada itu, institusi pengajian tinggi kita sendiri perlu melakukan pendekatan berani.
Universiti tidak boleh lagi selesa dengan acuan tradisional yang membiarkan pelajar ‘terperangkap’ selama tiga hingga empat tahun untuk menelan teori.
Struktur pengajian kursus-kursus tertentu wajar dirombak tanpa menjejaskan kualiti melalui ijazah kompak (fast-track). Kita boleh melihat trend global seperti di United Kingdom yang mula mempopularkan ijazah dua tahun dengan memampatkan cuti semester yang panjang. Dengan cara ini, ia dapat memotong kos sara hidup mereka,dan dapat mencari pekerjaan dengan cepat.
Masa untuk menuding jari sudah habis. Anak muda tidak bersalah apabila mereka memilih untuk bersikap pragmatik demi kelangsungan hidup. Yang salah adalah sistem ekonomi, pasaran kerja, dan struktur akademik kita yang gagal menawarkan nilai pulangan yang adil bagi setiap titik peluh yang mereka laburkan di dewan kuliah.
Kalau betullah kerajaan mahu menyelamatkan masa depan modal insan negara, kita mesti terlebih dahulu menyelamatkan nilai sekeping ijazah di pasaran kerja.
Adakah berbaloi gaji RM2,000 untuk seorang siswazah, sedangkan nilainya sama dengan gaji seorang barista berkelulusan SPM? Atau lebih beberapa ratus ringgit saja dengan buruh asing? Majikan dan pembuat dasar, agak-agaklah.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.






