Wanita di sebalik keteguhan Van Dijk

Wanita di sebalik keteguhan Van Dijk


sukan@hmetro.com.my

Spekulasi persaraan antarabangsa kapten skuad kebangsaan Belanda, Virgil van Dijk kini bertiup kencang berikutan penyingkiran awal pasukannya di kempen Piala Dunia 2026.

Pertahanan tengah elit Liverpool itu terpaksa menelan kepahitan apabila skuad Oranje disingkirkan oleh Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti 2-3 pada aksi Pusingan 32, 30 Jun lalu.

Di sebalik detik suram yang melanda pemain itu, perhatian peminat tetap terarah kepada susuk tubuh isterinya, Rike Nooitgedagt yang sentiasa teguh berdiri di belakangnya dalam apa jua keadaan.

Rike yang sebaya dengan Van Dijk sebenarnya memiliki rekod kerjaya yang cemerlang apabila pernah bergelar pengurus jualan fesyen di negara kelahirannya, Belanda.

Bagaimanapun, dia sanggup melepaskan kerjaya korporatnya demi menyokong perjalanan karier suaminya dari bawah sehingga Van Dijk mendedikasikan gelaran ‘tiang utama rumah tangga’ buatnya yang cekap menguruskan empat anak mereka.

Hubungan utuh pasangan ini mula terjalin sebagai kekasih zaman remaja di bandar Breda, jauh sebelum pertahanan kuku besi itu mengecapi kemewahan mahupun membina nama bersama kelab Groningen.

Berbeza dengan gaya WAGs konvensional yang gemar memburu populariti, Rike sangat menjaga privasi keluarga dan tidak memiliki sebarang akaun Instagram atau TikTok awam untuk menunjuk-nunjuk gaya hidup mewahnya.

Kesetiaan wanita ini juga terbukti apabila dia sentiasa setia di sisi menjaga Van Dijk ketika pemain itu berdepan ancaman kesihatan kritikal berikutan komplikasi apendiks dan jangkitan buah pinggang pada tahun 2012.

Sebagai sokongan moral, Rike dan anak-anaknya sanggup terbang jauh ke Amerika Utara bagi memberikan sorakan padu memandangkan kejohanan tersebut dilaporkan bakal menjadi kemunculan antarabangsa terakhir suaminya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top