Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini kembali menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dibenarkan menjalani cuti rawatan di rumah selama dua hari susulan tahap pemulihan yang memuaskan.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff berkata, pasukan perubatan IJN berpuas hati dengan tahap pemulihan bekas Perdana Menteri itu serta responsnya terhadap rawatan dan fisioterapi.

“Hari ini genap sebulan Tun Dr Mahathir dirawat dan sejak dua hari yang lepas pada 4 Februari, Tun Dr Mahathir telah dibenarkan ‘home leave’ iaitu pulang dan tidur di kediaman beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tun M dibenar bermalam di rumah
Tambah beliau, Tun Dr Mahathir kembali ke IJN pagi ini bagi meneruskan rawatan dan menjalani pemantauan oleh pasukan perubatan.
“Walaupun dibenarkan pulang secara berperingkat, beliau masih berada di bawah pemerhatian pasukan perubatan IJN,” kata Sufi.

Menurut beliau, Tun Dr Mahathir dan keluarga turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan semua pihak yang terus mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau.
“Pasukan perubatan masih menasihatkan Tun Dr Mahathir agar tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali ahli keluarga terdekat,” katanya.

Artikel lain: Tun M nikmati ice chocolate, belum dibenarkan pulang ke rumah
Negarawan berusia 100 tahun itu dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan dan disahkan mengalami patah pada pinggul kanan.
Sumber: FB Dr. Mahathir bin Mohamad






