CAIRO: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Am Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penutupan sementara dan menyeluruh ruang udara negara itu sebagai langkah berjaga-jaga luar biasa susulan perkembangan keselamatan serantau yang semakin tegang.
Menurut laporan agensi berita negara pada Selasa, keputusan tersebut dibuat bagi memastikan keselamatan penerbangan awam dan orang ramai ketika situasi di rantau berkenaan terus berubah dengan pantas.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan UAE memaklumkan bahawa pihaknya sedang bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan dron yang dilancarkan dari Iran.
Langkah penutupan ruang udara itu dilihat sebagai respons segera dalam menghadapi potensi serangan, di samping memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara berkenaan.-UTUSAN






