UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Lions memasang misi lebih besar untuk menguasai saingan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) SUKIPT selepas mencipta sejarah menjulang kejuaraan sulung IIUM Hexangular Rugby 15’s 2026.
Kejayaan menewaskan pasukan tuan rumah, IIUM Mustangs 10-5 dalam aksi final penuh sengit itu bukan sahaja menghadiahkan trofi berprestij buat Lions, malah menjadi suntikan moral penting menjelang cabaran lebih besar pada Ogos depan.
Walaupun perlawanan terpaksa ditamatkan lebih awal akibat faktor cuaca, kedua-dua pasukan tetap memperagakan aksi berkualiti tinggi dengan disiplin permainan yang tersusun serta intensiti perlawanan bertaraf final sebenar.
Lions tampil lebih dominan menerusi penguasaan bola yang kemas dan kawalan tempo permainan efektif sehingga memaksa Mustangs bermain mengikut rentak sepanjang perlawanan di Padang Ragbi UIAM Gombak itu.
Pengendali Lions, Zamri Abd Kahar berkata, kejayaan tersebut perlu dijadikan titik permulaan untuk pasukan terus membina reputasi sebagai antara pencabar utama ragbi universiti negara.
Menurutnya, fokus pasukan kini terarah sepenuhnya kepada persiapan menghadapi SUKIPT dengan sasaran untuk meneruskan momentum kemenangan.
“Fokus kami kini beralih kepada persediaan SUKIPT 7s pada Ogos depan.
“Kami mahu pastikan kecemerlangan ini tidak terhenti di sini, sebaliknya terus konsisten dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya.
Sementara itu, Kapten Lions, Muhammad Hazim Azri Radzi menyifatkan semangat berpasukan dan peningkatan prestasi secara berperingkat menjadi faktor utama kejayaan menjulang trofi bersejarah itu.
Katanya, walaupun persiapan pasukan sedikit terjejas susulan cuti semester, komitmen tinggi pemain memastikan mereka tampil lebih mantap dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Peningkatan konsisten sejak aksi pertama memberi keyakinan kepada pasukan untuk terus melangkah sehingga bergelar juara.
“Semua pemain memberikan komitmen luar biasa demi memastikan trofi sulung ini menjadi milik Lions,” katanya.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan, pengurusan universiti dan penaja yang sentiasa menjadi tulang belakang kekuatan pasukan.
Menurutnya, sokongan berterusan daripada semua pihak menjadi pembakar semangat buat pemain untuk terus mengangkat nama UiTM di pentas ragbi institusi pengajian tinggi.
Kejayaan tersebut hadir tepat pada sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Lions sejak 1976, sekali gus menjadikan trofi itu cukup bermakna dalam sejarah perjalanan pasukan.
Lebih manis, kemenangan berkenaan bukan sekadar simbol kejayaan sebuah generasi pemain, tetapi bukti legasi besar Lions terus subur sebagai antara kuasa utama ragbi universiti negara.






