Hatrik pemain import Jerome Etame membantu Kuching City FC mencatat kemenangan penting 3-1 ke atas Melaka FC dalam saingan Liga Super 2025/2026
KUALA LUMPUR – Hatrik pemain import Jerome Etame membantu Kuching City FC mencatat kemenangan penting 3-1 ke atas Melaka FC dalam saingan Liga Super 2025/2026 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.
Pemain import dari Cameroon itu muncul watak utama pasukan pelawat apabila meledak tiga gol masing-masing pada minit ke-40, 71 dan 87 untuk memastikan Kuching City membawa pulang tiga mata berharga sekali gus melonjak ke tangga kedua liga.
Pada pertembungan malam ini, kedua-dua pasukan saling mengasak seawal permainan dengan Melaka terlebih dahulu mencipta peluang menerusi percubaan Shahrel Fikri Fauzi pada minit keempat, namun rembatan penyerang itu tersasar.
Kuching City kemudian mula menguasai permainan dan hampir berada di depan menerusi Ronald Ngah pada minit ke-14, namun percubaannya di hadapan gawang gagal disudahkan dengan baik.
Etame akhirnya memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma pada minit ke-40 untuk meletakkan Kuching City di depan sebelum tamat babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Melaka tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan melakukan larian solo sebelum menewaskan penjaga gol Kuching City Muhammad Haziq Nadzli pada minit ke-47.
Bagaimanapun, Etame kembali meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu di depan pada minit ke-71 hasil bantuan Jimmy Raymond sebelum melengkapkan hatrik menerusi larian solo selepas menerima hantaran Gabriel Tamin pada minit ke-87.
Berbaki satu perlawanan musim ini, Kuching City kini menghuni tangga kedua liga dengan 50 mata selepas mengharungi 23 perlawanan, hanya satu mata di hadapan Selangor FC di kedudukan ketiga.
Kuching City dijadual melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC pada aksi terakhir liga di Stadium Negeri pada 17 Mei ini, manakala Selangor akan membuat perhitungan dengan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Sementara itu, Gabriel Peres muncul wira Sabah FC apabila menjaringkan penalti di hujung permainan untuk memastikan Sang Badak merakam kemenangan 1-0 ke atas wakil Brunei, DPMM FC pada satu lagi perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei. – Bernama






