Umar perbaharui rekod 400 meter SUKIPT

Umar perbaharui rekod 400 meter SUKIPT


PELARI Politeknik Malaysia, Umar Osman berjaya memperbaharui rekod 400 meter lelaki pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 yang berlangsung di Stadium UUM, Sintok pada Rabu.

Atlet muda kebangsaan berusia 21 tahun mencatatkan masa 46.49 saat bagi memadam rekod catatan lama 47.54 saat oleh Kannathasan Subramaniam yang dilakukan pada SUKIPT 2012.

Rekod berusia 12 tahun yang diperbaharuinya itu berjaya menyumbang pingat emas buat kontinjen Politeknik yang kini berada di kedudukan dua teratas carta SUKIPT UUM 2024 dengan 22 pingat emas, 10 perak dan sembilan gangsa.

Walau bagaimanapun, Umar pernah mencatatkan rekod 46.34 saat semasa beraksi di Sukan SEA Kemboja tahun lalu.

Catatan masa yang dilakukan itu memadam rekod kebangsaan acara 400 meter lelaki milik Mohd Zaiful Zainal Abidin 46.41 saat pada Kejohanan Olahraga Asia Junior di Brunei pada 2001.

Atlet kelahiran Johor ini berpeluang untuk menyertai kontinjen negara ke Sukan SEA Thailand yang dijadual berlangsung pada hujung tahun hadapan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top