KUALA LUMPUR: UMNO memberikan sokongan berhubung penjenamaan semula Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung malam tadi.
Kata beliau, penjenamaan semula itu akan dimasyhurkan pada 12 Mei oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Ini adalah sebahagian daripada pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan besar bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Sementara itu beliau berkata, UMNO menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning atas kepercayaan dan keyakinan diberikan kepada UMNO dan Barisan Nasional.
“UMNO bersyukur dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang menunjukkan peningkatan sokongan pengundi Melayu, pengundi pelbagai kaum dan pengundi dalam kalangan anak muda.
“Ia sekali gus membuktikan rakyat menolak politik perkauman, kebencian, maki-hamun dan mainan persepsi seolah-olah Islam dan Melayu terancam, jelasnya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memberitahu, UMNO akan mengadakan Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO kali pertama bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-79 pada 11 Mei 2025 bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia.-UTUSAN.