June 14, 2024

UMNO terdesak, tiada ahli dipecat mahu kembali dalam parti – Isham


KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil tidak akan menyertai parti itu semula walaupun terdapat laporan menyatakan UMNO bersedia menerima bekas pemimpin dan ahli parti yang telah disingkirkan sebelum ini.

Beliau mendakwa UMNO yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah lari daripada perjuangan asal.

“Parti yang dipimpin Zahid Hamidi hari ini bukanlah UMNO yang asal yang ditubuhkan berdasarkan semangat perjuangan pada tahun 1946 dahulu tetapi ia adalah UMDAP (UMNO dan DAP) iaitu parti yang berasaskan semangat Zahid untuk membawa UMNO bersama PH (Pakatan Harapan) dan DAP.

“Parti UMNO di bawah Zahid hari ini hanya tinggal pada nama sahaja. Semangat asalnya telah hilang dan telah berubah menjadi semangat UMDAP. Parti yang suatu masa dulu gah, hari ini telah jadi melukut di tepi PH (Pakatan Harapan) dan DAP,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas laporan mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias bahawa ada dalam kalangan mereka yang disingkirkan selepas proses pemutihan mahu menjadi ahli semula selepas melihat keadaan parti itu ketika ini.

Isham mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu sebagai tidak benar.

Katanya, apa yang berlaku adalah sebaliknya dengan sebilangan besar ahli UMNO dakwa beliau tidak lagi menyokong parti itu.

“Mereka yang masih berdaftar sebagai ahli pun tidak sokong dan tidak undi UMDAP PH/BN dalam pilihan raya, apakan lagi yang telah dipecat.

“Jika diadakan survey atau “pemutihan” keahlian dalam UMNO hari ini, besar kebarangkalian jumlah ahli UMNO yang masih aktif atau menyokong UMNO adalah jauh lebih rendah daripada tiga juta yang selalu digembar-gemburkan selama ini, mungkin tinggal 20 peratus sahaja atau kurang dari suku dari tiga juta itu.

“Sebab itu sebelum ini saya minta Presiden UMNO, Zahid Hamidi untuk buat referendum untuk mengetahui tahap sokongan sebenar, tetapi dia takut dan tidak mahu, sebab saya pasti dia tahu hakikat sebenar namun dia tidak mahu menerima kenyataan,” kata Isham.

Beliau turut mendakwa, enam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi majoriti Melayu Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu dimenangi calon PH baru-baru ini disebabkan ramai pengundi Melayu tidak keluar mengundi.

Malah, katanya, adalah tidak logik sokongan Melayu kepada PH/BN telah meningkat kepada 30-40 peratus kerana jika benar calon PN tidak mungkin akan dapat lebih 10, 000 undi di Kuala Kubu Bharu.

“Oleh yang demikian, hakikatnya adalah bukannya akar-akar umbi yang telah menjauhkan diri dan pemimpin-pemimpin yang dipecat ini yang mahu kembali kepada UMDAP tetapi sebaliknya UMDAP yang terdesak mahu akar-akar umbi dan pemimpin-pemimpin ini kembali supaya UMDAP dapat menarik sokongan orang-orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top