July 27, 2024

DBKL sita barang jualan peniaga Bangladesh

DBKL sita barang jualan peniaga Bangladesh



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penjaja warga asing dikesan ‘menyelit’ menjalankan perniagaan di deretan gerai berlesen bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Taktik itu dikesan menerusi operasi Tindakan Khas Terhadap Penjaja Warga Asing yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Petaling, di sini, Sabtu lalu.

DBKL dalam kenyataan di Facebook berkata, berdasarkan siasatan, perniagaan itu dikendalikan oleh warga Bangladesh di Jalan Petaling dan Jalan Hang Lekir.

“Jualan dilakukan di sekitar deretan gerai dan kiosk penjaja berlesen yang disediakan oleh DBKL kepada pemilik tempatan.

“DBKL juga mengesan terdapat beberapa lot gerai penjaja yang dikendalikan oleh warga asing dan pemilik asal menyewa lesen kepada pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa DBKL menyerbu ke lokasi yang dikenal pasti.

“Tindakan sitaan dan pindah barang dilakukan serta-merta ke atas enam penjaja warga asing yang menjual aksesori, pakaian, tali pinggang, beg, aksesori telefon, kasut dan lain-lain barangan am.

“Dianggarkan 1,440 barangan dan peralatan perniagaan disita dan dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan rekod,” katanya.

Kenyataan itu berkata, tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“DBKL turut mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (UUK 14) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016 kepada pemilik gerai penjaja warga tempatan yang melantik pembantu warga asing tanpa kebenaran,” katanya.

Katanya, DBKL akan mengeluarkan arahan pembatalan lesen perniagaan kepada pemilik asal lesen yang melanggar syarat termasuk menyenaraikan hitam penama berkenaan.

DBKL mengingatkan kepada semua pemilik atau pemegang lesen sentiasa mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan.

“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top