June 14, 2024

UMNO tidak ada pengalaman dengan DAP, Azalina boleh cakap apa saja – Mohd Ammar


KUALA KUBU BAHARU – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said boleh berkata apa sahaja mengenai kerjasama parti itu dengan DAP kerana mereka belum mempunyai pengalaman.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebelum berkawan, pihaknya tidak tahu banyak tentang DAP dan hanya mendengar daripada pihak lain.

“Bila kita berkawan dalam beberapa PRU dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Altenatif dari situ kita kenal DAP ini dengan jelas.   

“Jadi apa yang kita luahkan hari ini adalah berdasarkan kepada pengalaman kita. Dia tidak ada pengalaman sebab UMNO baru sahaja berkawan dengan DAP jadi dia tidak ada pengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette dalam siri kempen saat-saat akhir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Mohd Amar diminta mengulas kenyataan Azalina yang menasihatkan Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya tidak menjadi ahli politik munafik dengan memburuk-burukkan bekas rakan kerjasama apabila tidak lagi sehaluan.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, Presiden Pas itu sebaliknya perlu menjadi pemimpin politik matang yang mengutamakan ideologi perjuangan.

Ahli Parlimen Pengerang itu mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menggesa pengundi di DUN Kuala Kubu Baharu supaya tidak mengundi calon Pakatan Harapan dari DAP, Pang Sock Tao, selain mendakwa parti dianggotai wanita itu mengamalkan pendekatan ekstrem.

Abdul Hadi menerusi amanatnya pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) malam tadi dilaporkan berkata, DAP yang lahir daripada PAP di Singapura adalah parti ekstrem dan melampau serta mahu merampas kuasa politik secara halus dan licik sehingga boleh menyebabkan kekacauan dalam negara.

Mengulas mengenai PRK KKB, Mohd Amar berkata, PN lebih menumpukan kepada pengundi Melayu kerana merupakan bilangan pengundi terbesar di kawasan ini.

Katanya, PN melihat potensi untuk menang itu lebih besar dengan penumpuan diarah kepada pengundi Melayu.

“Pengundi India dan pengundi Cina kita dapati sukar untuk kita tarik tapi kalau kita boleh tarik lima hingga 10 peratus pengundi Cina jadi peluang kita untuk menang menjadi lebih besar.

“Hari kita dapat maklumat sebahagian pengundi Cina tidak puas hati dengan calon. Alasan yang kita dengar adalah calon itu orang luar jadi mereka tidak puas hati kerana macam mana orang luar nak jaga kepentingan pengundi jadi kita harap isu seperti ini boleh membantu kita,” katanya.  – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top