July 27, 2024

UMPSA universiti kejuruteraan, teknologi diiktiraf antarabangsa

UMPSA universiti kejuruteraan, teknologi diiktiraf antarabangsa


Pekan: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi kini mencapai usia 22 tahun dan terus diiktiraf di persada antarabangsa.

Seiring keperluan industri negara masa kini, UMPSA telah meletakkan tumpuan penyelidikan dalam bidang baharu seperti robotik serta teknologi yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebagai keutamaan.

UMPSA akan terus memperkayakan penyelidikan dalam pembangunan lestari dan teknologi hijau serta memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju atau dikenali sebagai Advanced TVET.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata UMPSA sentiasa berusaha melahirkan graduan berdaya saing bertaraf global dan kompeten dengan ciri-ciri kelestarian supaya menjadi warga bertanggungjawab.

“Graduan ini akan menjadi modal insan berkualiti, berkemahiran tinggi, amanah dan berintegriti. Pada masa sama, universiti akan terus mengekalkan momentum dalam aspek kualiti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.

“Bagi mencapai hasrat itu, universiti akan terus mengorak langkah meningkatkan kolaborasi strategik dengan pelbagai rakan industri serta universiti lain, di dalam mahupun luar negara,” katanya. 

UA perintis Program Ijazah Dual

UMPSA juga merupakan universiti awam pertama di Malaysia yang berkolaborasi dengan rakan kerjasama universiti luar negara melibatkan Jerman, China dan Kazakhstan bagi Program Kerjasama Akademik Ijazah Dual.

Sehingga kini, 10 program diluluskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi penawaran Program Ijazah Dual antara UMPSA dengan Rakan Kerjasama Universiti Luar Negara.

UMPSA komited menyediakan bakat tempatan yang mahir dalam bidang teknologi dan menjadi semakin penting bagi negara memanfaatkan peluang ekonomi berkaitan. 

Program ijazah dual ini dijangka membuka lebih peluang meneroka kerjasama penyelidikan dan perkongsian kepakaran dalam bidang kejuruteraan serta teknologi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Jalinan kerjasama program UMPSA dengan institusi Jerman pada tahun ini menjangkau 14 tahun menerusi Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan terbaharu, Mannheim University of Applied Sciences.

Komitmen UMPSA memperkasakan aspek pengantarabangsaan universiti, meluas ke negara China menerusi kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) dalam program kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrikal serta Tianjin University berkaitan program kejuruteraan kimia. 

Peneraju bidang pendidikan, penyelidikan rel

Sementara, inisiatif bersama pihak universiti dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah program perintis yang diiktiraf Engineering Accreditation Council, Board of Engineers Malaysia dengan kaedah pelaksanaan baharu dalam penawaran program dual ijazah kerjasama dengan universiti luar negara.

Hasil kerjasama pihak UMPSA dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga berpeluang mengikuti Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) bagi menyambung pengajian, bermula pada peringkat persediaan hingga ke ijazah pertama di IPT terpilih di luar negara.

Begitu juga kerjasama dengan Yayasan Sabah dan Yayasan Terengganu yang memberi penajaan pelajar mengikuti pengajian ijazah dual ini.  

Selain itu, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia kini juga mendorong perluasan kerjasama UMPSA dengan Kazakh National Agrarian Research University di Kazakhstan yang membabitkan bidang bioteknologi industri. 

Kerjasama ini membantu memperkasa lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang bioteknologi masa kini. Kolaborasi antarabangsa UMPSA turut bakal diperluaskan di Korea dan Jepun. 

UMPSA memfokuskan kualiti graduan dilahirkan bagi membolehkan mereka bekerja di industri yang berkaitan dengan bidang mereka termasuk bekerja di luar negara.

Sebar luas program TVET

Menyahut saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir agar Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) mempertingkatkan peratusan pelajar mengikuti program berasaskan TVET, UMPSA kini menyebar luas program akademik berasaskan TVET ke negeri Sabah dan Sarawak.

Ia salah satu usaha memberi kemudahan dan melebarkan akses pendidikan kepada anak-anak di negeri Sabah dan Sarawak bagi mengikuti program berasaskan TVET melalui pelbagai kaedah termasuk penubuhan kampus pesisir di bawah Program TVET Borneo.   

Mobiliti Antarabangsa TVET Termaju

Pelajar UMPSA juga berpeluang meningkatkan pembelajaran dalam mobiliti antarabangsa mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang TVET hasil kerjasama UMPSA dengan pihak Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPN) atau Belia Mahir dan BEIFANG Automotive Education Group (BAEG) dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).  

Ia bagi menjalani latihan ‘up-skill’ dengan memperluas program mobiliti dengan pensijilan TVET dari institusi latihan atau industri di China menghasilkan tenaga kerja profesional mahir tersedia industri terhadap pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan (GE) di Malaysia.

Kolaborasi yang mendapat sokongan pihak KPT ini menyaksikan kerjasama PKPB (BELIA MAHIR) dan TANG International Education (China) di bawah usaha Malaysia-China Institute (MCI) terhadap pelaksanaan Program Malaysia-China Advanced TVET Mobility Program (MYCHAT) di China berkaitan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent) yang dilaksanakan di Beijing Polytechnic dan di Beifang International Group dalam bidang Automotif (Hibrid dan EV).

Usaha ini dilihat turut menyokong usaha kerajaan dalam menghantar bakat muda negara menerusi kemahiran berteknologi tinggi di samping itu, mampu membawa masuk pelajar antarabangsa ke Malaysia melalui inisiatif Pelancongan Pendidikan (Edu-Tourism) yang dilaksanakan universiti. 

Fakta Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

  1. UMPSA telah tersenarai di kedudukan 146 terbaik dunia dalam penarafan Times Higher Education Young University Rankings 2024 (THE Young) yang menyenaraikan universiti terbaik di dunia yang berusia bawah 50 tahun dan pertama dalam MTUN.
  2. UMPSA juga telah menerima pengiktirafan kebolehpasaran dalam bidang Automotif dengan 6 bintang Employers’ Choice of University oleh Talentbank. 

Kelebihan Program Ijazah Dual UMPSA

  1. Anugerah dua institusi pendidikan (UMPSA dan rakan kerjasama luar negara)
  2. Pendidikan holistik berorientasikan praktikal
  3. Pengiktirafan Badan Akreditasi Malaysia & Antarabangsa
  4. Peluang kerjaya di syarikat multinasional dalam dan luar negara
  5. Tenaga akademik yang memiliki pengalaman industri
  6. Pendedahan pengajaran & pembelajaran serta latihan industri di luar negara 

Klik video ini bagi menyaksikan podcast bertajuk Graduan TVET Bergaji Premium menampilkan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin dan dua alumni UMPSA, iaitu Jurulatih Eksekutif Perodua, Muhammad Ambri Mohd Sha’ari dan Jurutera Kejuruteraan Pengeluaran TC Module Integrator Sdn BHd, Muhammad Anas Syazwi Shamsulnizam mengenai masa depan siswazah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam industri dengan peluang kerja dan tawaran pendapatan lumayan.

Untuk maklumat lanjut boleh klik pautan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top