July 27, 2024

DUN Sg Bakap: PKR Pulau Pinang hantar senarai nama calon kepada Presiden

DUN Sg Bakap: PKR Pulau Pinang hantar senarai nama calon kepada Presiden


NIBONG TEBAL – Pimpinan PKR Pulau Pinang telah menghantar senarai pendek lima nama untuk dipilih sebagai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, semua nama itu adalah bagi dipertimbangkan dan diperhalusi oleh pucuk pimpinan parti untuk dipilih bertanding nanti.

“Peringkat pimpinan (PKR) negeri telah menerima cadangan-cadangan (nama) calon untuk DUN Sungai Bakap di peringkat ranting dan cabang PKR di Nibong Tebal dan kami telah hantar kepada pimpinan atasan… calon berusia 30 hingga 60 tahun, ada anak tempatan, dari luar pun ada juga,” katanya kepada pemberita selepas sidang media mengenai projek-projek Mitigasi Banjir DUN Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, ketika ini tidak timbul isu UMNO turut mahu bertanding kerusi Sungai Bakap kerana kenyataan pucuk pimpinan parti itu sebelum ini jelas telah memaklumkan memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di situ.

Sementara itu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata, gerak kerja Wanita PKR telah bermula di Sungai Bakap lebih awal dan momentum itu sedang dilihat secara terperinci untuk memberi tumpuan penuh kepada DUN berkenaan.

“Senarai di peringkat Wanita kita telah kemukakan kepada pucuk pimpinan negeri dan misi kita adalah menawan kembali Sungai Bakap serta memberi khidmat terbaik kepada penduduk Sungai Bakap,” katanya. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top