Kuala Lumpur: Sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26) yang bakal membuka tirai tidak lama lagi, Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi segmen Unifi Business giat memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri hospitaliti bagi meningkatkan daya tarikan mereka kepada pelancong melalui penyelesaian digital.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Unifi Business menjalin kerjasama strategik bersama Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) dalam usaha memastikan hotel bajet di seluruh negara mempunyai sambungan internet serta kemudahan digital terbaik untuk tetamu.
Naib Presiden Unifi Business, Dr Mohamad Yusman Ammeran, berkata memandangkan sektor hospitaliti adalah ‘barisan hadapan’ menyambut ketibaan pelancong, adalah wajar pengusaha menyediakan pengalaman penginapan yang konsisten, selesa dan setanding destinasi global.
Katanya, pelancong masa kini mengharapkan sambungan internet yang lancar serta perkhidmatan digital yang lebih cekap dan diperibadikan mengikut keperluan individu.
“Pelancong generasi baharu mengutamakan WiFi berkelajuan tinggi, pengalaman diperibadikan serta perkhidmatan digital tanpa gangguan. Kajian global menunjukkan automasi dan kecerdasan buatan (AI) mampu mengurangkan kos operasi hotel sehingga 25 peratus, terutama membabitkan operasi housekeeping dan kaunter hadapan.
“Teknologi membantu mempercepat tindak balas, mengurangkan kesilapan manual dan membina kesetiaan pelancong untuk jangka panjang,” katanya kepada BH.
Dr Mohamad Yusman Ammeran, Naib Presiden Unifi Business.
Dr Mohamad Yusman berkata, selain sambungan internet, Unifi Business turut menawarkan pakej khas untuk hotel menerusi Hospitality Entertainment Solution, iaitu gabungan internet berkelajuan tinggi dan saluran televisyen premium bagi meningkatkan pengalaman tetamu.
“Solusi ini ditawarkan berdasarkan profil pelancong utama ke Malaysia, termasuk dari China, India, Korea dan Indonesia dengan kandungan disesuaikan mengikut negara asal tetamu.
“Lebih 50 saluran HD premium ditawarkan merangkumi hiburan, sukan dan berita antarabangsa seperti Nickelodeon HD, DreamWorks HD, SPOTTV HD, beIN sports, Colors Cineplex serta tvN HD, sekali gus memberi nilai tambah kepada operasi hotel,” katanya.
Beliau berkata, Unifi Business bukan sahaja menyediakan sambungan internet perniagaan berkelajuan tinggi sehingga 2 Gbps dan penyelesaian keselamatan siber bagi melindungi data pelanggan, malah turut menawarkan perkhidmatan awan yang menyokong daftar masuk dalam talian serta pengurusan housekeeping.
Malah, sistem tempahan Go Bookit dan penyelesaian pemasaran digital membantu perniagaan menembusi pasaran yang lebih luas.
Selain itu, mobiliti pekerja turut diperkasa menerusi Uni5G Mobile Biz yang ditawarkan bersama peranti 5G percuma.
“Pengusaha juga boleh menilai tahap kesediaan digital perniagaan mereka secara percuma menerusi IMPAK BIZ bagi mengenal pasti bidang utama untuk meningkatkan kecekapan operasi serta pengalaman pelanggan,” katanya.
Sambungan internet stabil

Dr Sri Ganesh Michiel, Presiden MyBHA
Sementara itu, Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel, berkata, pihaknya kini memberi keutamaan terhadap aspek sambungan internet yang stabil, kecekapan sistem operasi, digitalisasi asas, keselamatan tetamu serta latihan tenaga kerja bagi memastikan hotel kekal relevan dan kompetitif sempena TMM26.
Katanya, apabila pelancong tiba di Malaysia, antara perkara pertama yang mereka cari ialah akses internet atau WiFi.
“Malah, dalam kalangan rakyat tempatan sendiri pun, keperluan utama di sesuatu lokasi ialah sambungan internet. Hal ini kerana hampir semua aktiviti kini bergantung kepada capaian digital, sama ada untuk memuat naik gambar, berkongsi video di Facebook, Instagram atau platform media sosial lain.
“Sehubungan itu, kesedaran mengenai kepentingan kemudahan internet perlu didedahkan kepada pengusaha hotel supaya mereka sentiasa bersedia memenuhi keperluan tetamu,” katanya.
Beliau menegaskan, peranan MyBHA turut penting bagi memastikan setiap perniagaan perhotelan dan penginapan dikawal selia secara teratur dan berdaftar supaya pengusaha mematuhi garis panduan operasi yang betul, selamat dan berkualiti.
“Ia bagi mengelakkan situasi di mana sesebuah penginapan hanya disediakan secara ringkas tanpa kemudahan asas yang mencukupi, termasuk ketiadaan akses WiFi yang stabil, sekali gus boleh menjejaskan pengalaman pelancong,” katanya.
Sehubungan itu, kerjasama dengan Unifi Business disifatkan sebagai langkah tepat bagi membantu ahli MyBHA mendapatkan akses kepada pakej digital terbaik untuk menyokong operasi hotel.
“Sebelum ini mungkin pengusaha hanya mengetahui Unifi Business menawarkan perkhidmatan jalur lebar, namun selepas ini mereka akan lebih maklum mengenai pelbagai perkhidmatan lain yang boleh membantu perniagaan hotel mereka.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan pelancong yang berkunjung ke Malaysia dapat menikmati pengalaman melancong dan digital terbaik sepanjang berada di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






