July 27, 2024

United cari jalan sukar ke final Piala FA

United cari jalan sukar ke final Piala FA


London: Manchester United bergelut untuk menewaskan Coventry menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan klasik Piala FA, seterusnya menetapkan pertembungan final kali kedua berturut-turut menentang Manchester City.

Anak buah Erik ten Hag memenangi penentuan sepakan penalti di Wembley 4-2, dengan Rasmus Hojlund menjaringkan sepakan penalti kemenangan selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga masa tambahan.

Pasukan Liga Kejuaraan itu bangkit daripada ketinggalan 0-3 dan mempunyai kelebihan awal dalam penentuan sepakan penalti tetapi Callum O’Hare dan Ben Sheaf gagal menyempurnakan tugasan, meninggalkan Hojlund untuk menjaringkan penalti kemenangan.

Permainan United pada awalnya cukup sempurna melupakan seketika musim yang huru-hara anak buah Ten Hag, selepas semakin jauh ditinggalkan bagi perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris dan boleh melupakan aksi Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Tiada sebarang petunjuk apa yang akan berlaku apabila United mendahului 3-0 menentang lawan dari divisyen dua itu dengan mereka memperoleh gol daripada Scott McTominay, Harry Maguire dan Bruno Fernandes.

Bagaimanapun, mereka kembali kepada tabiat lama mensia-siakan kelebihan seperti dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan perlawanan menentang Coventry terbukti tiada beza.

Jaringan separuh masa kedua daripada Ellis Simms dan Callum O’Hare memberi harapan kepada juara Piala FA 1987 dan Haji Wright menyamakan kedudukan dari sepakan penalti pada minit ke-95, menamatkan kebangkitan yang hampir tidak boleh dipercayai.

Peminat Coventry mengejek Ten Hag dengan melaungkan ‘kamu akan dipecat esok pagi’.

Coventry menyangka mereka sudah memenangi perlawanan pada saat-saat akhir masa tambahan apabila Victor Torp menolak bola melepasi penjaga gol United, Andre Onana tetapi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) memutuskan bahawa Wright berada dalam keadaan ofsaid.

Coventry memperoleh semangat awal dalam penentuan penalti apabila sepakan lemah Casemiro diselamatkan Bradley Collins.

Bagaimanapun, O’Hare dan kapten, Ben Sheaf gagal menggunakan kesempatan itu, meninggalkan Hojlund untuk tugasan membantu United mara ke final dengan tidak melakukan kesilapan.

Manchester City menewaskan Chelsea 1-0 dalam satu lagi separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top