United kena lebih agresif

United kena lebih agresif


KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes, menegaskan beliau dan rakan sepasukannya perlu menampilkan permainan yang jauh lebih agresif baki saingan musim ini selepas kekalahan 0-2 kepada West Ham United di Old Trafford pada Isnin.

Jaringan pada setiap babak Tomas Soucek dan Jarrod Bowen memastikan kekalahan ke-17 buat United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, sekali gus melanjutkan rekod tanpa kemenangan liga kepada tujuh perlawanan.

Biarpun menurunkan kesebelasan utama yang lebih kuat daripada jangkaan selepas kejayaan di separuh akhir Liga Europa menentang Athletic Bilbao, United dihukum penyudah tumpul terutamanya pada separuh masa kedua.

Kekalahan liga kesembilan di laman sendiri musim ini menyaksikan United kini berada di tangga ke-16 liga, bermakna mereka dipintas oleh West Ham kendalian Graham Potter berkenaan.

Dengan rekod tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam liga yang menjadi rentetan terpanjang mereka sejak 1992, Fernandes menggariskan empat aspek utama yang perlu diperbaiki oleh United.

“Jelas sekali, ia adalah keputusan yang sangat mengecewakan di laman sendiri. Kami mahu memenangi perlawanan selepas aksi terakhir di Liga Europa.

“Kami sangat yakin apabila mencipta peluang yang cukup untuk menjaringkan gol dan berada di depan. Selepas kami gagal menjaringkan gol, kami akhirnya bolos pada saat kami mengawal sepenuhnya permainan.

“Itu telah banyak berlaku kepada kami musim ini. Kami telah mengawal permainan dan bolos daripada sedikit perebutan di dalam kotak penalti. Kami tahu bahawa kami perlu memperbaiki banyak perkara dalam liga.

“Kami perlu menjadi lebih agresif, masuk ke kotak penalti mereka lebih kerap, menjadi lebih berbahaya dan lebih efektif,” kata Fernandes.

Mengenai ketumpulan penyudah United, tonggak Portugal itu menambah: “Kami memang mencipta banyak peluang tetapitidak dapat menyudahkannya.

“Jika kami berjaya meletakkan satu atau dua percubaan, permainan mungkin berubah sepenuhnya. Pada akhirnya, anda berakhir dalam perlawanan di mana mereka mempunyai banyak serangan balas. Tetapi kami masih mendapat lebih banyak peluang dan kami tidak cukup efektif.”

INFO

BAKI AKSI MANCHESTER UNITED MUSIM 2024-2025

LIGA PERDANA INGGERIS

SABTU (17 MEI)

Chelsea lwn Manchester United

(Stdm Stamford Bridge, 3.15 pagi)

LIGA EUROPA

FINAL

KHAMIS (22 MEI)

Tottenham Hotspur lwn Manchester United

(Stdm San Mames, 3 pagi)

LIGA PERDANA INGGERIS

SABTU (25 MEI)

Manchester United lwn Aston Villa

(Stdm Old Trafford, 11 malam)



Source link

OR