Amorim mengakui pasukannya kehilangan kawalan permainan seketika yang membawa padah, namun memuji semangat dan reaksi pemain yang tidak mudah menyerah selepas dibolosi dua kali. Foto AFP
VOLI kencang Amad Diallo minit ke-81 memastikan Manchester United tidak pulang tangan kosong selepas mengikat Nottingham Forest 2-2 dalam aksi sengit Liga Perdana Inggeris di City Ground yang disaksikan 30,778 penonton.
United terlebih dahulu berada di depan hasil tandukan Casemiro pada babak pertama selepas sepakan penjuru yang dipertikaikan pasukan tuan rumah.
Namun Forest mengubah keadaan dalam tempoh dua minit separuh masa kedua apabila Morgan Gibbs-White menewaskan kawalan Amad untuk menanduk hantaran Ryan Yates sebelum Nicolo Savona memanfaatkan kekalutan bagi menewaskan penjaga gol Senne Lammens.
Bagaimanapun skuad bimbingan Ruben Amorim enggan mengulangi kelemahan lama, bangkit menekan hingga Bruno Fernandes hampir menyamakan kedudukan apabila percubaannya terkena tiang, sebelum Amad meledak voli deras dari luar kotak penalti menewaskan Matz Sels.
Amad hampir mencuri kemenangan pada masa kecederaan, namun rembatan keduanya diselamatkan pertahanan Forest, Murillo di atas garisan gol.

Amorim
Amorim mengakui pasukannya kehilangan kawalan permainan seketika yang membawa padah, namun memuji semangat dan reaksi pemain yang tidak mudah menyerah selepas dibolosi dua kali.
“Kami hilang kawalan permainan selama lima minit dan terpaksa membayar harga itu.
“Kami lakukan beberapa perkara dengan baik, tetapi tenaga kami menurun sedikit. Namun pemain tetap berusaha keras bukan hanya hari ini, tetapi sepanjang minggu latihan.
“Dulu apabila kami alami lima minit buruk seperti ini dan bolos dua kali, kami tak mampu bangkit. Tapi kali ini berbeza kami masih rasa boleh menang dan paling penting, kami tahu tidak akan kalah,” katanya.
Amorim turut menegaskan, perubahan sikap itu menjadi asas penting untuk United membina semula keyakinan selepas musim sukar lalu.
“Kami sebenarnya berpeluang menang di penghujung perlawanan, tapi berakhir seri. Kami kehilangan dua mata, namun saya rasa pasukan kini tahu bagaimana mengawal detik sukar seperti ini.
“Kami cuma perlu kekal fokus hingga 10 minit terakhir. Itulah sebahagian daripada bola sepak. Kami semakin baik dalam aspek ini dan masih ada ruang untuk bermain dengan lebih sempurna itulah sasaran kami,” katanya.
INFO
Ruben Amorim
52 perlawanan
22 menang
9 seri
21 kalah
103 jaringan
98 bolos
Ringkasan AI
- VOLI kencang Amad Diallo pada minit ke-81 memastikan Manchester United seri 2-2 dengan Nottingham Forest
- United memimpin lebih awal melalui gol Casemiro tetapi Forest membalas dua gol dalam dua minit separuh masa kedua
- Bruno Fernandes gagal menyamakan kedudukan bila percubaannya terkena tiang sebelum Amad meledak voli deras
- Ruben Amorim mengakui pasukannya kehilangan kawalan permainan tetapi memuji semangat pemain
- Perubahan sikap penting bagi United untuk membina semangat juang dan keyakinan selepas musim sukar






