United mengharungi musim yang kurang memuaskan musim ini. – Foto Agensi
SALAH satu kumpulan penyokong terbesar Manchester United menyeru para peminat hadir ke perlawanan menentang Arsenal di Old Trafford pada Isnin ini supaya memakai pakaian hitam sebagai tanda protes terhadap kepimpinan keluarga Glazer yang dikatakan merosakkan kelab tersebut.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, kumpulan penyokong ‘The 1958’ menggesa peminat untuk menyertai perarakan sebelum sepak mula sebagai tindak balas terhadap ketidaktentuan kewangan yang semakin memburuk dan prestasi memalukan dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi kelab itu.
Sejak kumpulan INEOS milik Sir Jim Ratcliffe menyelesaikan pembelian saham minoriti sebanyak 27.7 peratus pada 20 Februari tahun lalu, beberapa langkah penjimatan kos dan pengumpulan dana telah diperkenalkan. Antaranya adalah keputusan untuk menetapkan harga tiket kepada £66 (RM375) tanpa mengira umur.
Selain itu, Ruben Amorim menggantikan Erik Ten Hag pada Oktober, prestasi pasukan masih tidak menunjukkan peningkatan, dengan kekalahan terkini menerusi sepakan penalti kepada Fulham dalam saingan Piala FA.
“Kelab ini perlahan-lahan mati di depan mata kita, di dalam dan di luar padang, dan kesalahan terletak sepenuhnya pada model pemilikan semasa malah menghadapi kehancuran kewangan dan hutang.
“Sir Matt Busby pasti akan kecewa melihat keadaan salah satu institusi bola sepak terbesar dunia yang kini berada di ambang kejatuhan dan menjadi bahan jenaka.
“Kelab ini semakin mundur dan kemungkinan besar keadaan akan bertambah buruk. Kami menggesa peminat untuk bangkit, bersatu dan bersama kami pada pukul 3 petang Ahad ini untuk berarak ke stadium serta membantah pemilik Glazer yang dibenci dan serangan kelab ke atas budaya peminat,” kata wakil “The 1958”, Steve Crompton dalam kenyataan itu.
Manchester United telah berada di bawah kawalan keluarga Glazer sejak pembelian secara pinjaman pada Mei 2005 menyebabkan kelab itu menanggung hutang lebih daripada £500 juta (RM2.8 bilion).
Sebelum pengambilalihan oleh keluarga Glazer, mereka sudah pun menerima tentangan hebat daripada penyokong yang marah dengan kemungkinan pasukan sebelum ini bebas daripada hutang dipaksa menanggung beban kewangan besar.