Universiti Malaysia tangga ke-5 AUFT

Universiti Malaysia tangga ke-5  AUFT



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad Universiti Malaysia (UM) mengulangi pencapaian 2019 di Taiwan apabila menamatkan saingan di tangga kelima menewaskan Vietnam 2-1 di Kejohanan Persekutuan Bolasepak Universiti Asia (AUFT), hari ini.

Ketua jurulatih, Ridzuan Abu Shah berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian ini terutama sistem yang diterapkan dalam kejohanan AUFT kali ini.

Jelasnya, kehadiran lima pemain ‘import’ termasuk dua dari Liga Super iaitu ketua pasukan, Aliff Najmi Shaani dan Harris Mansor berjaya membantu skuad kendalian bermain dengan baik pada edisi kali ini.

“Saya berpuas hati dengan sistem rotasi yang membuahkan hasil untuk pemain buat pemulihan untuk perlawanan seterusnya. Tapi hari ini agak terkejut kena gol awal disebabkan kelekaan awal.

“Tapi pemain saya berjaya melakukan kebangkitan untuk memenangi perlawanan hari ini menentang Vietnam.

“Kebanyakan pemain import yang saya bawa, empat adalah pertahanan dan seorang penyerang, semua yang datang itu sangat membantu sistem dan taktikal kita,” katanya selepas tamat perlawanan di Arena Sukan Azman Hashim UKM di sini, hari ini.

Terdahulu dalam perlawanan itu, UM turun untuk mengubati kedukaan selepas gagal ke perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat memulakan permainan serangan ke kubu lawan untuk mendapat jaringan.

Namun begitu, Vietnam berjaya mengekang setiap asakan dan mengatur beberapa gerakan berbahaya untuk mendapatkan jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila penyerang mereka, Duy Troung Dang berjaya memecah kebuntuan untuk mendahului 1-0 pada minit ke-32.

Kegembiraan skuad kendalian Le Huu Phat tidak bertahan lama apabila Zharif Nazhan Refli memadam kelebihan dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-34 untuk menutup separuh masa pertama dengan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, anak buah Ridzuan lebih menguasai perlawanan dan melancarkan serangan bertali arus dari segenap penjuru namun beberapa kali gerakan baik gagal disudahkan dalam bentuk jaringan.

UM terpaksa menunggu sehingga minit ke-74 apabila Zahrul Nizam Zamri berjaya mengambil kesempatan dalam situasi kelam kabut untuk mendahului 2-1.

Hasrat Vietnam untuk cuba mendapatkan jaringan penyamaan tidak menjadi sebaliknya terus ditekan bertubi-tubi namun kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top