UTV Tembusi Skrin Televisyen Dengan 30 Juta Tontonan, Gandingan Bella Astillah & Syed Saddiq Dalam Telefilem Bakal Jadi Taruhan?

UTV Tembusi Skrin Televisyen Dengan 30 Juta Tontonan, Gandingan Bella Astillah & Syed Saddiq Dalam Telefilem Bakal Jadi Taruhan?


Platform penstriman tempatan, UTV terus mengorak langkah apabila ia kini boleh diakses menerusi layar skrin televisyen, sekali gus membawa pengalaman baharu terus kepada penonton dan peminat telefilem tempatan.

Menurut pengasasnya, Datuk Nana Hasan, pelancaran UTV di kaca televisyen sejak Mac lalu merupakan satu inisiatif untuk mengembangkan capaian platform itu yang sebelum ini hanya boleh ditonton menerusi peranti mudah alih.

“Kita akan launching sesuatu yang istimewa di mana UTV akan ada di Televisyen. Ia boleh disaksikan sebagaimana OTT yang lain (Viu dan Netflix).

“Dan kita berbesar hati kerana kita adalah syarikat pertama yang mengadakan UTV TV dengan telemovie-telemovie lokal yang saya rasa banyak dan boleh menjadi pilihan para penonton. Itu apa yang kita cuba nak sampaikan pada hari ini,” katanya.

Jelasnya, UTV mula memperkenalkan tontonan baharu sejak Hari Raya pertama iaitu pada 21 Mac lalu, sebelum diperluaskan ke televisyen bermula hari ini.

Dan setakat ini hampir 30 judul telefilem telah tersedia termasuk projek UTV Nusantara yang menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia dalam satu naskhah.

“Kita dah bermula actually untuk tontonan yang baru pada Hari Raya pertama, 21 Mac hari tu. Dan untuk TV, kita bermula mulai hari ini dan onwards lah.

“Jadi semua Android TV boleh mendapati logo UTV TV orang kata macam pawagam peribadi di rumah untuk mereka melihat semua telemovie ataupun filem terbitan UTV untuk tontonan semua.

“Yang pastinya, semuanya adalah rancangan lokal. Maknanya, kita sendiri yang buat dan ini adalah hasil bekerjasama dengan pelbagai produksi. Dan kita rasa this is our first experience juga di mana UTV akan ada ‘UTV Nusantara’ di mana kita bersama dengan pihak produksi Indonesia menghasilkan filem TV yang terbaru untuk tontonan semua,” kongsinya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka 2026 Seri Syawal Usanita yang di adakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambahnya,  setakat ini hampir 30 judul telefilem telah tersedia termasuk projek UTV Nusantara yang menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia dalam satu naskhah.

“Kita tampilkan gabungan pelakon serumpun dengan hero dari Malaysia dan Indonesia, begitu juga heroin. Ini peluang untuk kita tembusi pasaran Indonesia selain Brunei dan Singapura,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Datuk Nana memaklumkan, UTV kini mencatat lebih 30 juta tontonan secara keseluruhan, dengan telefilem ‘Poskad Cinta dari Auckland’ lakonan mantap Fattah Amin dan Amelia Henderson yang meraih tontonan lebih daripada 20 juta.

“Faktor populariti pelakon dan pasangan memainkan peranan besar kerana peminat mereka akan menyokong karya tersebut di UTV,” ujarnya.

Bella Astillah, Syed Saddiq bakal bintangi telefilem?

Lebih menarik, UTV turut mengesahkan bahawa pasangan sensasi Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal digandingkan dalam sebuah telefilem romantik komedi.

Bagaimanapun, ia masih dalam proses perbincangan lanjut.

“Ya, mereka akan terlibat dan akan mula menjalani penggambaran dalam masa terdekat. Ini sesuatu yang menarik kerana penonton mahu melihat mereka bukan sahaja di media sosial tetapi di kaca TV,” katanya.

Selain itu, Bella juga bakal menjadi antara wajah utama koleksi akan datang UTV.

Dalam perkembangan lain, UTV turut merancang untuk menerbitkan filem layar perak sekitar tahun 2027, namun pengumuman lanjut masih belum dibuat berikutan kekangan jadual.

Untuk info, UTV kini beroperasi menggunakan konsep ‘pay-per-content’, di mana pengguna hanya perlu membayar bagi kandungan yang ingin ditonton tanpa langganan bulanan. Aplikasi tersebut juga telah mencatat lebih 80,000 muat turun sejak diperkenalkan tahun lalu.

Dengan fokus kepada genre romantik komedi dan konsep ‘feel good’, UTV yakin mampu menjadi pilihan penonton tempatan yang mencari hiburan santai selepas penat bekerja.



Source link

OR

Scroll to Top