LONDON – Raphael Varane bakal meninggalkan Manchester United pada penghujung musim ini apabila kontraknya berakhir selepas tiga tahun di Old Trafford.
“Kali pertama saya ke Old Trafford sebagai pemain Man United adalah sangat menakjubkan, atmosferanya begitu luar biasa.
“Saya jatuh hati dengan kelab termasuk penyokongnya. Kamu perlu bermain untuk Manchester United untuk memahaminya,” tulis di media sosialnya.
Pemenang Piala Dunia 2018 itu berkata, walaupun asasnya kelab itu berdepan musim sukar, dia sangat positif dengan masa depannya.
“Pemilik baharu (pemilik bersama United, Jim Ratcliffe) hadir dengan perancangan jelas dan strategi yang hebat,” katanya.
Varane yang kariernya di United dibelenggu isu kecederaan tidak pernah diturunkan sejak tewas 3-4 di tangan Chelsea pada 4 April lalu namun berharap dapat kembali beraksi sebelum penghujung kempen ini.
Bekas pertahanan Perancis berusia 31 tahun itu tiba di kelab berkenaan dari Real Madrid pada 2021 dengan yuran pemindahan sekitar 34 juta pound (RM201.37 juta) dan pernah membuat 93 penampilan serta meledak dua gol.
Dia pernah berada dalam pasukan yang membantu kelab menjulang trofi pertama mereka sejak enam tahun iaitu Piala Liga 2023. – Agensi